Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1.5j pelajar guna bas sekolah dilindungi insurans
Diterbitkan:  Dec 26, 2012 4:55 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah akan diberi perlindungan skim insurans bermula Januari depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

    

Syed Hamid berkata skim dikenali sebagai skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian dengan had sebanyak RM100,000

seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 September lepas di Parlimen.

Katanya SPAD telah membuka tender kepada syarikat insurans yang berminat untuk menghantar kertas cadangan yang disertakan dengan sebut harga untuk perlindungan skim insurans itu.

"Kita akan memilih syarikat insurans yang mengemukakan kertas cadangan yang terbaik serta sebut harga yang munasabah bagi tujuan itu sebelum dilantik sebagai penyedia skim insurans.

    

"Kita sasarkan apabila sekolah dibuka tahun depan, semua pelajar sekolah

 rendah dan menengah seluruh negara akan diinsuranskan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat antara SPAD dan Pengusaha Bas Bentong dan Temerloh di ibunegara hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, Pengurus Operasi First Coach, Chong Yee Hoong, Ketua Operasi City Liner, Basri Baharom serta 25 wakil daripada SPAD, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Konsortium Transnasional Berhad.

    

Syed Hamid berkata mesyuarat itu adalah sebagai satu saluran usahasama antara SPAD dan pengusaha bas daerah bertujuan meningkatkan mutu serta menaik taraf perkhidmatan bas bagi keselesaan rakyat.

Katanya penambahbaikan pengangkutan awam di negara ini merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Pelan Transformasi

 Kerajaan yang diterajui Perdana Menteri maka SPAD mengambil inisiatif ini untuk membantu mencapai aspirasi kerajaan itu.

    

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata SPAD sedang dalam proses membentuk satu model baru bagi mengintegrasikan perkhidmatan bas di dalam bandar seluruh negara.

    

"Sebagai permulaan kita mulakan di daerah Bentong dan Temerloh untuk mengenal pasti apakah mekanisme yang perlu ada untuk tujuan tersebut dan kelak akan dibentuk di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata pengusaha bas henti-henti juga berpeluang mendapat dana peruntukan kerajaan yang setakat ini dikeluarkan sebanyak RM63.4 juta bagi membantu pengusaha terbabit termasuk RapidKuantan yang baru memulakan operasinya awal Disember lepas.

    

Katanya 10 pengusaha syarikat di Pahang telah mendapat faedah daripada dana yang memfokuskan bantuan kepada pengusaha bas henti-henti untuk meneruskan operasi dengan jumlah sebanyak RM1.8 juta.

    

Katanya SPAD telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pengusaha dan persatuan bas sebelum ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai cara terbaik mengatasi masalah yang timbul bagi menaik taraf perkhidmatan  bas

henti-henti.

- Bernama

ADS