Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kalimah 'Allah' hanya untuk Sabah dan S'wak, jelas DAP
Diterbitkan:  Dec 26, 2012 3:40 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

DAP hari ini telah menjelaskan bahawa gesaan Setiausaha Agung Lim Guan Eng supaya kerajaan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' hanya merujuk kepada Bible versi Bahasa Nakatsua du di Sabah dan Sarawak.

"Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali, dan DAP berasa kesal kerana kenyataan Setiausaha Agung telah diputarbelitkan untuk membawa maksud yang lain," kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari.

Beliau menegaskan bahawa dalam perutusan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Natal, Lim tidak pernah sesekali pun merujuk kepada penggunaan kalimah “Allah” di Semenanjung Malaysia.

"Beliau hanya meminta agar ia dibenarkan dalam kitab Bible versi Bahasa Malaysia yang digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Lagipun, kitab Bible versi Bahasa Malaysia hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak dan bukan di Semenanjung Malaysia.

"Maka, langsung tidak timbul persoalan penggunaan kalimah “Allah” di Semenanjung Malaysia," kata Zairil yang juga setiausaha politik Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, sepertimana yang ditegaskan oleh Lim, penggunaan kalimah “Allah” bukan sahaja biasa digunakan oleh penganut Kristian di Indonesia dan juga di negara-negara Timur Tengah, ia juga merupakan satu kelaziman selama berpuluhan tahun di kalangan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

"Oleh itu, DAP berharap agar hak penganut Kristian di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak akan dinafikan oleh kerajaan pusat," tegasnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan enam perenggan perutusan sempena Krismas yang dikeluarkan oleh Lim pada hari Isnin, beliau secara ringkas menyentuh mengenai isu kalimah 'Allah' dalam perenggan kedua tanpa menyatakan kepada siapa beliau merujuknya.

Perenggan kedua kenyataan dalam bahasa Inggeris itu berbunyi:

"For this reason, DAP urges the BN federal government to allow the usage of the word ‘Allah’ on the Bahasa Malaysia version of the Bible as has been allowed in Sabah and Sarawak for the last 50 years and practiced in the Middle East for more than a thousand years. Further, BN should stop using the fear tactics of a Christian state to frighten Malay voters to support BN when Christians have never sought a Christian state but instead pledged loyalty to the federal constitution that Islam is the religion of Malaysia."

Akhbar mingguan Katolik, The Herald, pada tahun 2009 berdepan dengan masalah dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila edisi Bahasa Malaysianya menggunakan perkataan 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya pada bulan Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa larangan menyeluruh KDN berhubung penggunaan perkataan 'Allah' adalah salah di sisi undang-undang.

Penghakiman tersebut - yang mencetuskan siri serangan membakar beberapa gereja di seluruh negara pada bulan berikutnya - kemudiannya digantung sementara menunggu rayuan kerajaan BN yang berhujah bahawa perkataan 'Allah' adalah eksklusif kepada umat Islam.

Rayuan itu masih belum selesai di Mahkamah Rayuan.

 

1. Benarkan penganut Kristian guna perkataan 'Allah', gesa DAP

2. Kalimah Allah: PPMM gesa DAP hormati keluhuran perlembagaan

3. 'LGE bangkitkan isu kalimah Allah, cuba alih isu tanah'

 

 

 

ADS