Nalla, Utusan dibenar kekal pembelaan

Mahkamah Tinggi membenarkan Presiden Parti India Malaysia Senator Datuk S Nallakaruppan dan dua lagi mengekalkan hampir semua penyataan dalam pembelaan bagi kes saman fitnah RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mereka.   

Nallakaruppan dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd serta Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu Datuk Abdul Aziz Ishak mengemukakan pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat serta komen yang adil, dan mereka bergantung kepada sebahagian pendapat majoriti dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi kes liwat Anwar pada 1998.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera hanya membenarkan Anwar membatalkan pembelaan justifikasi yang dikemukakan defendan.

Pada 26 Mac lepas, Anwar memfailkan saman terhadap defendan berhubung perkataan Nallakaruppan, yang didakwa fitnah dan mencemar nama baiknya, yang disiar di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac.

Penyataan tuntutan Anwar mendakwa perkataan berunsur fitnah yang terkandung dalam artikel itu adalah palsu, tidak berasas dan disiar dengan niat jahat.

Selain gantirugi am sebanyak RM100 juta, Anwar menuntut ganti rugi teruk, gantirugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mahkamah Tinggi menetapkan 18 Jan untuk pengurusan kes saman itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.