TPM: Keluarga mangsa banjir akan terima RM500

Setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akan menerima bantuan sebanyak RM500, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha meringankan beban keluarga berkenaan akibat bencana alam itu.
    
"Saya minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) uruskan perkara ini dan selesaikan dalam tempoh yang singkat," katanya selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan Gual Tinggi di Rantau Panjang hari ini.
    
Turut serta isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
    
Muhyiddin berkata pemberian sumbangan itu hanya akan diberikan kepada keluarga yang berpindah dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
    
Beliau berkata sumbangan itu bukannya sebagai ganti rugi sebaliknya untuk membantu mereka membaiki rumah atau sebagainya selepas menghadapi musibah itu.
    
Katanya bagi penduduk yang mengalami kerosakan hasil pertanian termasuk ternakan haiwan, mereka perlu menghubungi Jabatan Pertanian untuk dibanci kerugian yang ditanggung.
    
"Bancian ini penting bagi mengelakkan berlaku seperti sebelum ini kerana petani mendakwa kerugian besar sedangkan ia hanya membabitkan bilangan yang kecil," katanya.
    
Bagi mereka yang mengalami kerosakan harta benda termasuk rumah, Muhyiddin berkata peruntukan untuk membaikinya akan diuruskan Badan Perhubungan Umno seperti di Kelantan melalui Tabung Wang Ihsan.
    
Mengenai sekolah yang terlibat banjir termasuk dijadikan pusat pemindahan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan untuk menangguhkan sesi persekolahan hanya akan diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
    
Beliau juga berkata bantuan seperti bekalan makanan dan keperluan diri adalah mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir.
    
"Kita minta perhatian khusus diberikan kepada warga emas dan kanak-kanak dan menu makanan pula perlulah dipelbagaikan.
    
"Soal kesihatan dan bekalan air bersih juga sangat memuaskan dan kerajaan sangat komited menjaga keperluan rakyat," katanya.
    
Beliau turut berpuas hati dengan agensi yang terbabit menyelaras mangsa banjir yang telah berperanan dengan baik.
    
Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera Barisan Nasional dan pemimpin tempatan agar turun padang membantu mangsa banjir termasuk membersihkan rumah penduduk.
    
Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa pihak keselamatan akan memantau rumah-rumah yang ditinggalkan kerana penghuninya berpindah.
    
"Itu yang saya beri jaminan pasukan keselamatan akan memantau dan menjaga keselamatan termasuk rumah yang ditinggalkan," katanya.
    
Katanya dengan jaminan itu, penduduk tidak akan khuatir untuk berpindah seperti yang dilaporkan sebelum ini.
    
Sebelum itu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada mangsa banjir di pusat berkenaan.
    
Beliau dan isteri kemudiannya berlepas ke Terengganu untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.