Bilangan mangsa banjir meningkat di Terengganu

Keadaan banjir di Terengganu malam tadi menyaksikan peningkatan bilangan mangsa manakala situasi di Kelantan dan Pahang tidak berubah.

Menurut portal portal rasmi kerajaan negeri-negeri berkenaan, jumlah terkini keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ialah 23,307 orang berbanding 21,013 petang tadi.
    
Di KELANTAN, 18,531 mangsa melibatkan 4,343 keluarga kini berada di pusat pemindahan berbanding 14,880 petang tadi.
    
Menurut portal banjir kerajaan negeri, 62 pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di lima daerah di negeri ini kecuali Setiu dan Besut yang telah pulih dan telah menutup pusat pemindahan mangsa banjir.
    
Pusat pemindahan di Kemaman mencatat bilangan mangsa terbesar iaitu 12,160, diikuti Dungun (5,309 orang) dan Kuala Terengganu (1,002 orang).

Dua lagi pusat penempatan banjir di Hulu Terengganu (36 orang) dan Marang (24 orang) menunggu masa ditutup berikutan hanya tinggal baki keluarga yang belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Hanya satu laluan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kilometer 8 Jalan Tepoh-Kuala Jengai berdekatan Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Di KELANTAN, 4,594 mangsa banjir kini berada di 11 pusat pemindahan berbanding 5,951 petang tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, Tumpat mempunyai bilangan paling ramai mangsa iaitu 2,427, diikuti Pasir Mas (2,136) dan Kota Baharu (31).

Ia dijangka berkurangan esok berdasarkan keadaan cuaca yang baik sejak semalam.

Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.81 meter (bahaya 9 meter), namun ia semakin surut. Sungai-sungai lain pula sudah kembali ke paras normal.

Zon bebas cukai Rantau Panjang yang lumpuh sejak dua hari lalu, dijangka kembali beroperasi selewat-lewatnya lusa berikutan air semakin surut di pekan itu.

Bagaimanapun, penduduk Kelantan diingatkan supaya bersedia menghadapi pusingan kedua banjir berikutan hujan yang dijangka kembali melanda Pantai Timur bermula Ahad.

Di PAHANG, maklumat di portal banjir Majlis Keselamatan Negara menunjukkan bilangan mangsa banjir kekal 182 orang.  

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.