Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyeragaman dokumentasi perjanjian pinjaman perumahan akan dapat memberi mekanisme perlindungan kepada peminjam, kata Setiausaha Agung Gabung Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj.

Beliau berkata penggunaan bahasa yang mudah dalam dokumen mampu meningkatkan kefahaman peminjam berbanding bahasa peguam yang diguna pakai sebelum ini yang menimbulkan masalah kepada pembeli rumah.

"Biasanya pengguna jarang baca perjanjian kerana bahasanya yang kompleks selain dokumen perjanjian tebal seperti buku kamus dan bila dibaca jarang kita memahami kandungannya.

"Ada terma yang kita faham sekalipun agak susah nak minta pihak bank tukar (terma). Apabila diseragamkan ia akan memberi perlindungan asas sebagai jaminan bahawa kepentingan kita (peminjam) dijaga," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Bank Negara Malaysia dua hari lepas menghendaki institusi perbankan menerima pakai dokumentasi standard bagi perjanjian pinjaman perumahan konvensional dan pembiayaan rumah jumlah pokok RM500,000 ke bawah, mulai 1 Jan ini.

BNM memperkenalkan peraturan itu kerana peminjam sebelum ini sukar memahami terma kontrak berikutan huraian dan syarat utama yang berbeza-beza dalam dokumen perjanjian bank selain bahasa yang tidak jelas dan terlalu kompleks.

Selvaraj berkata langkah pihak BNM itu tidak akan memberi impak secara terus kepada sektor perumahan negara, namun ia memberi impak perlindungan cukup besar kepada pengguna.

- Bernama

ADS