Jambatan runtuh: 200 penduduk Hulu Besut terputus hubungan

Lebih 200 penduduk di Kampung Durian Telur, Hulu Besut, terputus hubungan sejak seminggu lepas apabila satu-satunya jambatan di alur Sungai Besut yang menghubungkan kampung itu ke pekan Pasir Akar runtuh akibat hakisan tebing selepas banjir.

Berikutan jambatan sepanjang 25 meter itu runtuh, penduduk terpaksa meredah alur sungai itu jika perlu pergi ke Pasir Akar atau Jerteh.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika dihubungi hari ini berkata jambatan itu akan dibaiki secepat mungkin.

Katanya beliau akan mencadangkan kepada pihak yang berkenaan supaya jambatan konkrit dibina bagi menggantikan jambatan itu yang diperbuat daripada "pembetung simen".

Beliau berkata jambatan berkenaan amat penting kepada penduduk untuk membawa hasil pertanian ke pekan Pasir Akar.

Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan beransur pulih dengan keseluruhan mangsa di kedua-dua negeri itu menurun kepada 913 orang setakat 5 petang ini berbanding 3,171 pagi tadi.

Menurut portal banjir negeri, dua daerah yang masih menghadapi banjir ialah Dungun dengan jumlah mangsa seramai 543 orang dan Kuala Terengganu 119 orang.

Menurut portal itu, satu daripada tujuh daerah yang mengalami banjir telah pulih dengan daerah terbaru Kemaman apabila mangsa banjir di daerah itu dibenarkan pulang tengah hari tadi.

Sementara itu, enam pusat penempatan masih beroperasi iaitu Dungun (lima) dan Kuala Terengganu (satu).

Jumlah korban banjir masih lagi enam orang di Terengganu sehingga petang ini.

Di Kelantan, mangsa banjir yang dipindahkan di Tumpat kini menurun kepada 251 orang berbanding 1,983 orang pagi tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu jauh menyusut berbanding lebih 500 orang pada sebelah pagi.

Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dan 2 yang terdiri daripada 74 buah keluarga.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir tengah hari tadi dan menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada mereka.

Sungai Golok di Rantau Panjang kini telah surut kepada paras amaran.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana alam itu di Kelantan. Pada keseluruhannya, keadaan cuaca adalah baik.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.