Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan ditemui terapung di Pantai Kuala Laut, Taman Teluk Villa di Putatan di Kota Kinabalu hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Ratan Kumar Singh berkata bayi malang yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam itu ditemui dalam keadaan bogel oleh seorang lelaki yang sedang memancing di pantai itu, pada 11.20 pagi.

"Kita percaya bayi itu baru dilahirkan berdasarkan keadaan fizikalnya yang masih sempurna dan kita masih mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan ini," katanya.

Ratan berkata bayi itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama semua klinik kesihatan agar menghubungi balai polis berhampiran sekiranya terdapat wanita yang mencurigakan menerima rawatan di tempat mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah, Penampang Inspektor Hasryman Osman di talian 088-71222.

- Bernama

ADS