Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata hutan dara seluas 400 hektar berhampiran Tasik Pedu yang diteroka untuk dijadikan ladang buah-buahan tidak memerlukan kajian tanah.

Beliau berkata sebuah syarikat swasta yang diberikan tanah seluas 3.75 hektar untuk mengusahakan tanaman buah-buahan mendakwa kawasan tersebut sesuai ditanam dengan anggur.

water catchment area in kedah 260608 Projek itu bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, katanya kepada pemberita semasa ditanya sama ada kajian tanah perlu dilakukan untuk menentukan kesesuaian jenis pokok, selepas melakukan lawatan kerja ke projek ladang buah-buahan di Charok Genting, Pedu dekat Kuala Nerang, hari ini.

Pengondolan lebih 400 hektar hutan simpan sekitar Tasik Pedu dan Gunung Inas di Baling didedahkan media tempatan baru-baru ini kerana ia didakwa bakal menjejaskan alam sekitar dan hasil pertanian.

Sebelum itu, Pengurus Besar Kumpulan Ladang-Ladang PKNK (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah) Rosli Saad dalam taklimatnya kepada Menteri Besar berkata hanya seluas kira-kira 221 hektar sahaja akan ditanam dengan pokok buah-buahan membabitkan 33 spesies.

"Saya yakin projek ini berdaya maju dan kita akan buat bersungguh-sungguh. PKNK yang diberi peranan membangunkannya juga mempunyai modal. Kita akan guna konsep tanaman buah-buah di Mesir yang membabitkan beribu hektar.

"Projek ini selaras program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) oleh kerajaan pusat yang meletak harapan kepada Kedah menjadi pengeluar makanan utama kepada rakyat," katanya.

Rosli juga berkata takungan akan dibuat di kawasan pembalakan di situ supaya hanya air bersih dilepaskan ke sungai.

Mengenai pembalakan, Menteri Besar berkata kerajaan negeri menerima premium dan cukai berjumlah RM15,000 bagi sehektar kawasan balak yang ditebang.

Dalam ucapannya sebelum itu, Azizan berkata projek buah-buahan itu bakal menjadi pemangkin industri pelancongan di Pedu dengan adanya lebuh raya Trans Eastern Kedah Highway (TEKIH) yang menghubungkan pintu kedua Kedah-Thailand di Durian Burong ke Sik dan Kulim.

Katanya pihak swasta atau pelabur yang ingin membangunkan tanah di kawasan tersebut diberi tempoh 30 tahun sahaja.

Sementara itu, kira-kira 50 penduduk dari beberapa buah kampung berdekatan Tasik Pedu mengadakan demonstrasi aman tidak jauh dari tempat Azizan membuat lawatan tapak bagi membantah pembalakan di kawasan terbabit.

Penduduk Kampung Kubang Bemban, Ibrahim Mehat, 58, berkata pembalakan itu meningkatkan risiko banjir melanda kampung-kampung berdekatan apabila air lebihan dari kawasan pembalakan melimpah.

Mohd Shahbari Abdul Rahman, 45, dari Kampung Charok Padi berkata sejak pembalakan bermula pada 2010, air Sungai Pedu menjadi semakin keruh dan lebih keruh lagi selepas hujan.

- Bernama

ADS