Banjir: 12,000 pelajar terjejas di T'ganu

Sebanyak 31 buah sekolah di Terengganu tidak dapat memulakan penggal baharu sesi persekolahan yang bermula hari ini yang menjejaskan 12,000 pelajar akibat banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata daripada 31 buah sekolah yang terlibat, 23 buah adalah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

Beliau berkata daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terbanyak membabitkan 13 buah sekolah diikuti daerah Besut sebanyak 12 buah dan masing-masing tiga buah sekolah di Kemaman dan Setiu.

Katanya sebab sekolah berkenaan ditutup ialah sama ada dinaiki air, menjadi pusat pemindahan sementara, masih dalam proses pembersihan selepas dijadikan pusat pemindahan dan terputus hubungan.

Beliau berkata sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periok, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, kesemuanya di Hulu Terengganu.

"Lain-lain sekolah iaitu SK Pasir Akar, SK Tok Raja, SK Bukit Jerok, SK Alor Keladi, SK Kampung Nangka, SK Tok Dor dan SK Keruak di daerah Besut," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar baharu di SK Tok Jembal di sini sempena pembukaan penggal persekolahan 2013 hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Pelajaran Hashim Mohd Zin.

Katanya sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara ialah SK Anak Ikan di Setiu, SK Seri Payong dan SK Tenang di Besut.

Beliau berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok di Kemaman ditutup bagi proses pembersihan setelah menjadi pusat pemindahan banjir sebelum ini.

Sekolah yang terputus hubungan di Hulu Terengganu ialah SK Kuar, SK Felda Tersat, SK Bukit Taduk, SK Matang, SK Tengkawang, SMK Menerong, SMK Matang dan SMK Jenerih, di Kemaman ialah SK Padang Kubu, SK RKT Seberang Tayor, di Setiu ialah SK Pak Ba dan SK Sungai Las manakala di Besut ialah SMK Bukit Payong dan SMK Putera.

"Sehingga ini kita tidak tahu sampai bila sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka kerana ia bergantung keadaan banjir yang melanda. Kita harap banjir gelombang kedua ini cepat surut.

"Mana-mana sekolah yang ditutup itu, ia akan buat penggantian pada hari Sabtu," katanya.

Katanya ibu bapa boleh menghubungi sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.

Sementara itu, Hashim berkata, seramai 19,878 murid telah mendaftar bagi memulakan Tahun Satu bagi 2013 di 350 buah sekolah di seluruh negeri.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.