India sambut 2013 dengan berkabung, protes

India memasuki tahun baharu 2013 dalam suasana suram, dengan diselubungi bantahan berterusan dan nyalaan lilin sebagai tanda berkabung tatkala negara itu meratapi kematian tragis pelajar mangsa rogol yang disemadikan pada Ahad.

Hotel dan kelab juga hanya mengadakan majlis sambutan secara kecil-kecilan atau membatalkannya sebagai menghormati kematian pelajar fisioterapi berumur 23 tahun itu yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu selepas bertarung nyawa selama dua minggu ekoran kecederaan parah beberapa organnya.

Kebanyakan tempat yang biasanya menjadi tumpuan sambutan di ibu negara ini seperti Connaught Place, hanya menyaksikan kehadiran sejumlah kecil orang manakala India Gate masih menjadi kawasan larangan.

"Kami menyambut kedatangan Tahun Baharu dalam suasana suram, tatkala negara berkabung dengan kematian tragik seorang gadis yang berani, yang menjadi mangsa jenayah kejam," kata Presiden India, Pranab Mukherjee, dalam perutusan Tahun Baharu beliau.

Beliau menggesa supaya dipertingkatkan tahap keselamatan dan kebajikan wanita di India.

“Mari kita gunakan saat ini untuk mencari jalan yang akan dapat mengubah cara berfikir yang menjadi punca kepada kejadian seumpama itu untuk membolehkan kita menjamin maruah dan hak samarata untuk wanita di negara kita," katanya.

Para penunjuk perasaan, sama ada mengadakan mogok lapar, terus berhimpun di Jantar Mantar, satu lagi kawasan di pusat bandaraya ini, dan menyalakan lilin sebagai tanda berkabung.

Mereka menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang lebih berat terhadap jenayah rogol dan keganasan terhadap wanita.

Situasi serupa juga dilaporkan di bahagian-bahagian lain di negara ini.

Statistik menunjukkan daripada 256,329 jenayah keganasan yang direkodkan tahun lepas, 228,650 kes berkaitan keganasan terhadap wanita.

Delhi merekodkan jumlah terbanyak kes rogol. Setakat ini, 661 kes rogol dilaporkan di Delhi, meningkat 17 peratus daripada tahun lepas.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.