Tiga sekeluarga ditemui mati di Pengerang

Tiga sekeluarga ditemui mati di rumah mereka di Kampung Jawa, Pengerang dekat Kota Tinggi, di Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 10 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, polis menemui mayat seorang lelaki berumur 60 tahun, isterinya yang berumur 57 tahun serta anak lelaki mereka yang berusia lingkungan 20-an di dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Bagaimanapun polis tidak mendedahkan identiti mangsa.

"Terdapat bau asap di dalam rumah itu dan kita percaya sesuatu telah dibakar di dalam bilik itu bagi tujuan melemaskan diri," katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Che Mahazan, isteri dan anak mangsa merupakan penghidap sindrom down.

Katanya, siasatan awal mendapati kematian tiga beranak itu tiada kaitan dengan unsur jenayah dan siasatan masih dijalankan.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.