Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Runtuhan lebih teruk jika hujan lebat berterusan

Runtuhan yang lebih teruk boleh berlaku sekiranya hujan lebat berterusan melanda kawasan Puncak Setiawangsa yang runtuh Jumaat lepas, menurut Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Ikram Mohd Taufik Haron berkata tiada sebarang penggelosoran tanah yang teruk dikesan sejak Sabtu lepas walaupun hujan lebat turun sekejap-sekejap.

"Hujan yang turun sekejap-sekejap menyebabkan struktur tanah tidak stabil dan kita risau jika hujan lebat berterusan runtuhan akan berlaku," katanya kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja menstabilkan cerun dengan diiringi Jurutera Geo-Teknikal IKRAM, Ir Abd Razif Abd Malek.

Beliau berkata pemantauan mendapati pergerakan tanah pada hari pertama cukup aktif namun gelongsoran tanah mula menurun pada hari kedua dan kekal sehingga ke hari ini.

"Agak sukar menjangka impak yang akan berlaku. Kita bersyukur tidak berlaku hujan lebat berterusan sejak kejadian, sekaligus membantu menstabilkan struktur cerun yang runtuh," katanya.

Katanya apa yang lebih penting sekarang ialah untuk memastikan keselamatan penduduk yang berada di bawah cerun bukit terbabit selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

"Kita akan melakukan kerja menstabilkan cerun bagi meminimumkan risiko berlaku runtuhan susulan pada masa akan datang termasuk merobohkan sebuah banglo yang terjejas teruk," katanya.

Beliau berkata tindakan untuk merobohkan dua lagi banglo berhampiran akan diputuskan jika zon penampan diperlukan untuk keselamatan 27 banglo lain di atas puncak bukit tersebut.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 malam itu, benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 50 hingga 60 meter runtuh mengakibatkan beberapa kediaman termasuk milik orang kenamaan di kawasan Puncak Setiawangsa terjejas.

Sementara itu, pemilik kediaman di Puncak Setiawangsa yang terjejas ekoran kejadian itu, perlu mendaftarkan kenderaan yang akan digunakan untuk memindahkan barangan.

Timbalan Ketua Polis daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata, sebagai langkah keselamatan, lori yang melebihi lima tan tidak dibenarkan untuk digunakan dalam kerja pemindahan barang.

Bercakap pada sidang media di tempat kejadian, beliau berkata sehingga kini pihak berkuasa masih belum menerima sebarang permohonan untuk pemindahan barang daripada penduduk.

Othman berkata polis juga telah meletakkan empat pondok kawalan bermula di laluan alternatif Jalan Persiaran Bukit Setiawangsa sehingga ke Puncak Setiawangsa sebagai langkah pencegahan risiko kecurian harta benda di rumah yang dikosongkan.

Beliau berkata pondok yang menempatkan anggota Rela dan polis itu berkawal 24 jam sejak hari pertama kejadian.

"Sesiapa yang hendak masuk ke tempat kejadian akan diperiksa dan diiringi oleh anggota polis sehingga ke dalam rumah dan pemilik rumah dimestikan untuk bersama ketika kerja-kerja pemindahan barang," katanya.

Othman berkata prosedurnya pemilik rumah harus mendaftarkan diri kepada pihak berkuasa untuk disahkan sebagai pemilik yang sebenar.

Beliau berkata sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat oleh mangsa tragedi mengenai kehilangan barangan peribadi atau harta benda di rumah mereka.

- Bernama

ADS