Banjir T'ganu semakin pulih, Kelantan tak banyak berubah

Keadaan banjir di Terengganu semakin baik manakala Kelantan tidak berubah dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara di dua negeri tersebut seramai 182 orang berbanding 1,058 orang petang semalam.

Di Terengganu, 138 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan di tiga daerah iaitu, di daerah Hulu Terengganu seramai 74 orang, diikuti Besut (43 orang) dan Setiu (21 orang), menurut portal banjir negeri.

Lima buah pusat penempatan banjir masih dibuka sehingga pukul 9 pagi ini iaitu masing-masing dua di Besut dan Hulu Terengganu manakala satu lagi di Setiu.

Di Kelantan, keadaan banjir di jajahan Pasir Puteh tidak banyak berubah dengan 44 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan pada pagi ini.

Menurut portal banjir negeri, seramai 26 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan 18 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.