Mangsa banjir di K'tan dan T'ganu kekal 59 orang

Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu kekal seperti semalam iaitu seramai 59 orang yang kini masih berada di pusat-pusat pemindahan, menurut laporan Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara sehingga 10 pagi ini.
    
Di TERENGGANU, 41 orang ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu, 20 orang berada di Dewan Batu 24, Hulu Terengganu sementara 21 lagi ditempatkan di surau Kampung Nyatoh, Setiu.
    
Di KELANTAN, 18 orang berada di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.
    
Sementara itu di ibu negara, laluan terowong menuju ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di Jalan Tun Razak berdekatan Ampang Point, di sini ditutup sementara, sejak awal pagi, akibat banjir kilat.
    
Jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur berkata laluan terowong itu ditutup dari 5 pagi sehingga 9 pagi setelah dimasuki air dan kerja-kerja menyisihkan air dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
    
"Sehingga 9.30 pagi laluan itu kini telah boleh dilalui oleh kenderaan," katanya sambil menambah disebabkan banjir kilat itu, ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar semasa warga kota ingin pergi ke tempat kerja.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.