Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bunuh tanpa niat: Polis ambil keterangan saksi kes Azrul

Polis menyiasat kematian seorang remaja Mohd Azrul Zulkifli yang maut selepas motosikal yang dipandunya didakwa ditendang seorang anggota pasukan itu sebagai kes mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membunuh tanpa niat.

Ketua Polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini berkata anggota yang didakwa terlibat dalam kejadian itu pula masih bertugas di sebuah balai polis dalam daerah tersebut.

NONE "Saya tidak boleh beri apa lagi mengenai siasatan. Kita siasat dahulu," katanya yang enggan menjelaskan tempoh siasatan yang diperlukan untuk menyelesaikan kes tersebut.

Beliau ditanya susulan kehadiran dua individu untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya berhubung kes tersebut hari ini.

Mereka ialah bapa si mangsa Zulkifli Hashim, 49, dan juga rakan si mati, Khairul Azrisham Abu Kassim, 22, yang membonceng motosikal terlibat dalam kejadian tersebut.

Peguam yang menemani kedua-dua individu itu, Mohd Yusmadi Yusuf berkata anak guamnya dipanggil memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat oleh mereka.

"Saya juga dimaklumkan ia berkaitan siasatan jenayah, berbeza (dengan) siasatan awal pada kali pertama kami datang, pada 31 Disember lalu bahawa kes ini disiasat di bawah kesalahan trafik," katanya.

NONE Khairul membuat laporan di balai polis Pantai selepas kejadian tersebut pada tarikh yang sama, manakala Zulkifli membuat laporan di sebuah balai polis di Petaling Jaya.

Dalam laporan polisnya, Khairul mendakwa seorang lelaki yang menaiki motosikal menahan motosikal yang dinaiki beliau dan Mohd Azrul dan meminta mereka berhenti ketika melalui satu kawasan di Sri Manja, Petaling Jaya.

Dalam kejadian pada awal pagi 25 Disember itu, dakwa Khairul, mereka tidak berhenti kerana takut diapa-apakan.

Lelaki berkenaan kemudiannya secara tiba-tiba mendekati mereka dari arah belakang dan menendang bahagian belakang motosikal dinaiki mereka sebanyak dua kali mengakibatkan mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri jalan, dakwanya.

"Apabila saya tersedar, lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan lelaki tersebut bertanya kepada saya, kenapa saya tidak berhenti.

NONE "Saya telah memberitahu kepadanya yang dia tidak memperkenalkan diri sebagai polis ketika menahan saya," laporan polis itu dipetik.

Ekoran itu, kata Khairul, beliau mendapat kecederaan di mata, muka dan tangan, manakala Mohd Azrul pula tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di kepala.

Laporan akhbar menyebut, Mohd Azrul meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada keesokan harinya.

Akhbar Harian Metro pada Jumaat lalu memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Tuah Masrom yang mendakwa tindakan polis yang didakwa menendang motosikal itu sebagai "fitnah dan berniat memburukkan imej pasukan keselamatan".

Dalam laporan berkenaan, Tuah juga mendakwa dilapor berkata siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit terbabas sendiri selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar pokok.

NONE Dakwaan berkenaan bagaimanapun disanggah peguam, Yusmadi Yusof yang berkata polis tidak sepatutnya membuat kesimpulan awal seperti itu memandangkan siasatan masih belum lengkap.

"Walaupun siasatan belum lengkap memandangkan saksi-saksi penting belum memberi keterangan, pihak polis telah membuat kesimpulan... Saya percaya sepatutnya polis menyiasat dahulu secara terperinci sebelum membuat kesimpulan.

"Tidak wajar diperingkat awal siasatan belum lengkap, kesimpulan telah dibuat. (Polis) belum terlewat untuk memperbetulkannya," katanya yang juga ahli parlimen Balik Pulau.

Mohd Yusmadi berkata, keluarga Mohd Azrul mendesak satu siasatan lebih profesional dan telus dapat dilakukan demi keadilan mereka dan yakin pihak polis mampu melakukannya.

NONE Beliau juga memberitahu keluarga si mati turut mengarahkannya supaya menimbang tindakan undang-undang termasuk tindakan sivil jika perlu dalam kes berhubung kematian Mohd Azrul.

"Saya masih mengkaji dan mengikuti perkembangan kes. Saya akan pantau siasatan kes ini secara dekat," katanya.

Beliau turut menjelaskan, Kharul Azrisham tidak dapat hadir memberi keterangan kepada pasukan polis sebelum kini kerana mengalami kesakitan dan cedera parah.

ADS