Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Jangan politikkan kes bunuh diri di Pengerang

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan kematian tiga beranak di Kampung Jawa, Pengerang dan mengaitkannya dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Beliau berkata siasatan polis mendapati kematian mereka bermotifkan bunuh diri akibat tekanan hidup menguruskan anggota keluarga yang uzur termasuk seorang menghidap Sindrom Down.

"Oleh itu, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kematian tiga beranak ini kerana kematian mereka tiada kaitan langsung sama ada dengan projek Rapid, politik mahupun kemiskinan,' katanya kepada pemberita, di Johor Bahru hari ini.   

Mohd Mokhtar berkata adik mangsa menerusi satu laporan polis yang dibuat pada pagi semalam turut mengesahkan kematian tiga beranak itu disebabkan tekanan hidup dan tiada kaitan dengan projek pembangunan berkenaan.

Mayat Pang Jing Rong, 64; isterinya, Wang Ya Yee, 58, yang menderita angin ahmar dan anak mereka Pang Qi Hao, 22, yang menghidap Sindrom Down ditemui di dalam sebuah bilik di rumah mereka pada pukul 10 pagi kelmarin.

Polis percaya mereka mati lemas terhidu asap susulan penemuan sebuah pasu mengandungi arang yang terbakar dalam bilik berkenaan.

Sebelum mengambil tindakan nekad untuk membunuh diri, Pang dilapor pernah memberitahu seorang jirannya bahawa dia ingin membunuh diri kerana tekanan hidup.

Sebuah akhbar berbahasa Cina bagaimanapun, melaporkan kenyataan wakil sebuah pertubuhan anti-Rapid yang mendakwa kematian tiga beranak itu dipercayai ada kaitan dengan pengambilan tanah rumah mereka bagi pembangunan projek Rapid.

- Bernama

ADS