Tujuh kenderaan tertimbus runtuhan tanah di Subang Jaya

Tujuh buah kenderaan melibatkan lima kereta, satu van dan sebuah motosikal tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di
Persiaran Putra Bahagia berhampiran Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya petang semalam.

Bagaimanapun lapan pengguna kenderaan terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

NONEPenolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata banjir lumpur berlaku di laluan itu akibat daripada runtuhan tanah dari Bukit Cermin yang sedang dalam proses pembinaan rumah semi-D.

"Tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam takungan air yang berhampiran dan menyebabkan kolam itu pecah.

"Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana jarak antara kolam dan jalan kira-kira 20 meter," katanya di lokasi kejadian.

Kenderaan-kenderaan yang pada mulanya tertimbus kemudiannya 'dihanyutkan' banjir lumpur itu dan pengguna-pengguna kenderaan itu dapat menyelamatkan diri, katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.12 petang dan sampai di tempat kejadian dua minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6.05 petang.

"Kejadian tersebut berlaku 500 meter daripada Balai Polis Putra Heights," katanya.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan jalan raya sedang dilakukan dan diharap selesai pada tengah malam ini supaya orang ramai dapat melalui semula jalan tersebut.

Manakala, pihak pemaju projek perumahan tersebut Kingsley Hills Sdn Bhd, Tan Sri Barry Goh berkata pembinaan rumah tersebut bermula pada awal tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

"Kita mungkin terpaksa menghentikan projek pembinaan tersebut dan akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengenai tindakan seterusnya," katanya sambil menambah keluasan projek itu kira-kira 40.46 hektar.

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie meminta semua kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dihentikan sehingga satu kajian dibuat.   

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.