Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kata-kata azimat pahlawan Iban 'Agi Idup Agi Ngelaban', yang bermaksud selagi nyawa di badan, pasti akan melawan, serta semangat setiakawan yang sentiasa mendalam, menjadi tali yang mengikat kukuh hubungan antara perwira negara mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan bekas perajurit lain yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan kedaulatan tanah air, khususnya ketika zaman pemberontakan komunis dulu.

    

Bagi menghargai jasa seorang pahlawan yang amat berjasa kepada negara, keputusan kerajaan memberi penghormatan negara kepada Kanang dan menyemadikan jasadnya di Kubur Pahlawan di sini, merupakan langkah paling tepat, kata penasihat Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sarawak Mejar (B) Peter Runin.

    

Beliau berkata amat jarang dalam sejarah Malaysia seorang perajurit seperti Kanang, yang disifatkannya sebagai 'sahabat sejati', dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), pingat keberanian tertinggi negara ini, dan pingat Panglima Gagah Berani (PG).

    

Bekas Pegawai Waran 1 Batalion Kelapan Renjer Diraja ini merupakan satu-satunya anggota tentera Malaysia yang menjadi penerima dua pingat keberanian itu.

    

Kanang meninggal dunia awal hari ini di Hospital Umum Sarawak pada usia 68 tahun. Beliau meninggalkan balu Datin Brawang Chunggat, enam anak dan lapan cucu.

    

Walaupun berperwatakan sebagai seorang perwira, namun Kanang gemar berjenaka dan mudah bergaul dengan sesiapa saja, kata Runin kepada Bernama di sini.

    

"Sebagai bekas rakan seperjuangan, kami sering berhubung dan beliau sentiasa memberi sokongan kepada kegiatan persatuan kami," katanya sambil mengimbau kembali kenangan ketika mereka sama-sama bertugas di ibu pejabat Markas

Keselamatan Rajang (Rascom) di Sibu dari 1985 hingga 1986.

    

Terkenal kerana peranan beliau dalam mengetuai Platun Perisikan Tempur batalian itu untuk menjejaki dan membunuh lima pengganas komunis dalam pertempuran di Perak ketika pemberontakan komunis begitu memuncak suatu ketika

dulu, nama Kanang juga terpampang di dada akhbar kerana menyelamatkan seekor anak orang utan daripada kurungan dan menyerahkannya kepada Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini tiga tahun lepas.

    

Jasa Kanang sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila beliau diberi anugerah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK), yang membawa gelaran 'Datuk', oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, sempena sambutan ulang tahun ke-90 kelahiran ketua negeri itu pada 24 September 2011.

    

Kanang juga adalah temenggong atau pemimpin tertinggi masyarakat Iban di bahagian Sri Aman, yang meliputi lebih 100 rumah panjang Iban di kawasan Lubok Antu, Engkilili, Sri Aman, Pantu, Lingga dan Skrang.

    

Dalam satu temubual dengan Bernama, Kanang berkata hubungan rapat beliau dengan Pejabat Residen Sri Aman dalam menyalurkan bantuan kerajaan kepada masyarakat memberi peluang kepadanya untuk melihat sendiri peningkatan besar

taraf sosioekonomi rakyat, terutama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia.

    

Mengimbau kembali kesukaran hidup yang dialami para penduduk kampung suatu ketika dulu, termasuk di tempat tinggalnya di rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman Julau, Kanang berkata beliau masih ingat ketika zaman kanak-kanaknya pada tahun 1950-an hingga 1960-an dulu apabila penduduk di situ hanya menggunakan lampu minyak tanah untuk menghadapi kegelapan malam.

    

Kata beliau keadaan itu tidak mengizinkan mereka mengadakan kegiatan kemasyarakatan pada waktu malam, manakala jumlah sekolah luar bandar pula begitu sedikit.

    

Walaupun menjadi penerima anugerah keberanian negara, kata Kanang beliau berasa lebih selesa meredah belantara untuk berjuang menentang komunis daripada bersiar-siar di bandar raya yang serba moden di negara ini.

    

Sesungguhnya, pemergian Kanang bukan saja merupakan suatu kehilangan besar bagi negara, tetapi juga amat dirasai anggota keluarganya serta seluruh rakyat Sarawak.

    

Balu beliau, Brawang, berkata Kanang tiba-tiba pengsan sekitar tengah malam tadi dan dibawa ke hospital dengan ambulans dari rumah mereka di Kampung Sungei Apong Baru, di Kuching.

    

- Bernama

ADS