Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: 'Perbincangan 'Amanat Hadi tidak bersifat politik'

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbincangan tentang 'amanat Hadi' dalam media hari ini bukan bersifat politik.

Sebaliknya, kata beliau, perbincangan tersebut adalah tentang cabaran dalam beragama kerana amanat itu telah menimbulkan banyak masalah kepada umat Islam sejak sekian lama.

NONE "Inilah perkara yang hangat dibincangkan dalam media (iaitu) 'Amanat Haji Hadi'. Ini bukan soal politik tetapi soal agama yang telah tersebar luas sekian lamanya dan terbukti menimbulkan masalah di kalangan umat Islam.

"Banyak perpecahan telah timbul, banyak amalan yang tidak selaras (dengan) tuntutan agama dilakukan oleh mereka yg tersalah ikut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Jamuan Bersama Rakyat selepas solat Jumaat di Masjid Al-Mukhlisin di Cheras petang tadi.

Bercakap lanjut, Muhyiddin menggesa umat Islam hari ini agar memperkukuh kefahaman mereka tentang maksud Islam sebenar untuk membentengi akidah daripada terus diseleweng oleh amanat itu.

"Hal ini harus dibanteras dan cara untuk kita membanterasnya adalah dengan memperkukuh kefahaman kita tentang apa itu Islam sebenarnya supaya tak diseleweng akidah kita oleh puak dan kelompok yang sebenarnya menggunakan agama untuk tujuan politik mereka," katanya.

'Amanat Hadi' adalah sebahagian daripada ucapan presiden PAS sekarang di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981.

'Amanat' tersebut kemudian diisytihar Majlis Fatwa Kebangsaan bercanggah dengan ajaran Islam pada 24 Julai 2002.

Amanat itu kembali ditimbulkan pemimpin Umno dan media pro-Umno bagi menuntut Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang, menariknya kerana ia didakwa memecah-belahkan umat Islam.

ADS