Pegawai penerangan Umno mahu menghadap Agong

Pegawai khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang rumahnya disimbah cat merah pada 25 Disember lalu akan menulis surat bagi memohon berkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pegawai tersebut, Ab Halim Tuah Rahmat berkata, tujuan pertemuan tersebut adalah untuk menceritakan mengenai tazkirah Maghrib di Surau An-Naim, Seksyen 5 Wangsa Maju baru-baru ini, yang didakwanya menghina Seri Paduka.

NONEBeliau yang juga pegawai penerangan Umno berkata surat permohonan untuk menghadap Seri Paduka akan dihantar minggu depan.

Selain itu, beliau turut menggesa agar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan terhadap penceramah tazkirah maghrib tersebut yang menghina Seri Paduka pada 15 November dan 20 Disember lalu.

"Kita juga mendesak JAWI ambil tindakan terhadap penceramah berkenaan.

"Saya akan hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk mohon perkenan untuk menghadap. Mudah-mudahan akan diperkenan Seri Paduka baginda," katanya.

Ab Halim memberitahu demikian ketika ditemui selepas beliau bersama empat orang lagi berkumpul di depan surau tersebut selepas solat Jumaat tadi

NONEBeliau turut memberi ucapan ringkas manakala yang lainnya memegang sepanduk menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, rumah Ab Halim disimbah cat merah ketika beliau bersama keluarga tiada di rumah.

Cat tersebut disimbah di bahagian pintu depan rumahnya serta di bahagian tepi rumah, yang turut terkena rumah jirannya kerana ia merupakan rumah jenis 'town house'

Ab Halim yang juga dilaporkan berkata sebelum ini, beliau membuat dua laporan polis terhadap penceramah di surau yang terletak di hadapan rumahnya, yang didakwanya menyentuh beberapa isu berhubung pemimpin negara.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.