Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi mahu Majlis Fatwa panggil beliau bincang 'amanat'
Diterbitkan:  Jan 6, 2013 4:51 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memanggilnya secara rasmi bagi membincangkan keputusan badan itu berkenaan ucapannya yang digelar 'Amanat Haji Hadi'.

Menurut Hadi, badan tersebut selama ini tidak pernah memanggil beliau mahu pun menghantar surat kepadanya untuk mendapatkan penjelasan dari pihaknya sendiri berkenaan amanat itu.

"Saya tidak pernah menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Majlis Fatwa tak pernah panggil saya," kata Hadi dalam satu tulisan di laman Facebook beliau hari ini.

'Amanat Hadi' adalah sebahagian daripada ucapan Hadi di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981.

Laporan sebelum ini menyebut, amanat tersebut kemudian diisytihar Majlis Fatwa Kebangsaan bercanggah dengan ajaran Islam pada 24 Julai 2002.

Amanat itu kembali ditimbulkan pemimpin Umno dan media pro-Umno bagi menuntut Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang, menariknya kerana ia didakwa memecah-belahkan umat Islam.

RTM pada 4 Januari lalu menerusi rancangan Bicara Rakyat membincangkan isu tersebut dan menampilkan presiden NGO JATI, Datuk Dr Hassan Ali dan bekas aktivis PAS, Taharuddin Yaakob sebagai ahli panelnya.

TV3 pada 2 Januari lalu juga menyiarkan satu forum membincangkan amanat itu dan menampilkan mantan ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor, bekas menteri di jabatan perdana menteri Tan Sri Yusof Noor ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Zakaria Stapa sebagai panelis.

Kedua-dua rancangan itu bagaimana pun langsung tidak menjemput Hadi untuk menyampaikan pandangannya sendiri berkenaan kontroversi amanat itu.

Menurut Hadi, keputusan majlis fatwa mengeluarkan fatwa secara sebelah pihak tanpa mendapat penjelasan darinya ibarat keputusan di 'atas angin'.

Menurutnya, perkara seumpama itu perlu diberikan pertimbangan serius daripada awal lagi kerana ia adalah urusan yang melibatkan agama.

"Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja.

"Bukan boleh atas angin begitu, ini bukan meniaga dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama," katanya.

ADS