Isteri dalam pantang dibelasah suami cemburu

Seorang suami dilapor telah membelasah isterinya yang dalam pantang di rumah mereka di Kampong Repoh dekat Kangar awal pagi semalam, akibat cemburu.

Lelaki berumur 40 tahun itu bukan sahaja membelasah isterinya dengan lesung batu, kerusi dan bingkai gambar, malah membakar pakaian dan motosikal isterinya, yang baharu 40 hari melahirkan anak kedua mereka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi.

Si suami dikatakan baharu pulang dari Kuala Lumpur dan dia kini direman selama empat hari.

Mangsa yang berumur 27 tahun kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.

Abdul Rahman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.