Pakatan S'gor kerah 300,000 ke himpunan 12 Jan

Pakatan Rakyat Selangor akan membawa seramai 300,000 rakyat yang terdiri daripada aktivis dan penyokong parti bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata arahan kepada ketua kawasan dan cawangan parti itu telah dikeluarkan walau permit bagi mengadakan perhimpunan itu masih lagi belum diperolehi.

"Kita dah beri arahan kepada ketua-ketua kawasan dan cawangan PAS. Kita hantar emel untuk turun. Nampak tak adil kalau sebelum itu perhimpunan belia boleh diadakan. (Jadi) berilah permit

"Kita mengharapkan yang hadir perhimpunan itu nanti sejuta. 300,000 kita harapkan dari Selangor,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR yang turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok serta Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari.

Abdul Rani juga turut menggesa agar masyarakat yang ingin turut serta pada perhimpunan Sabtu ini supaya memasuki ibu negara seawal 11 Januari.

Sementara itu, Teresa berkata, beliau meminta agar pihak polis dapat memberikan respon secepat mungkin memandangkan hari perhimpunan semakin hampir.

"Kita nak tahu lah, memandangkan ia akan diadakan hari Sabtu ini, saya rasa pihak kerajaan dan polis harus bagi persetujuan secepatnya.

"Kalau tidak, kami akan teruskan perhimpunan di ibu negara dan jangan salahkan pihak Pakatan Rakyat," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.