SPRM Kedah tahan kontraktor terbabit kes rebat NGO

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang kontraktor dipercayai terbabit dengan kes 'pemotongan' 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalur kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.
    
Pengarahnya Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata SPRM menjalankan siasatan mengenai kes itu setelah dilaporkan media pada Februari tahun lalu.
    
Laporan media itu menyebut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri Tan Chow Kang telah mengarahkan wakilnya untuk membuat potongan itu sebagai balasan kepada sumbangan yang telah diberi.
    
Mohamad Yusoff berkata berdasarkan siasatan, Tan didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan, sebaliknya ia melibatkan seorang kontraktor berusia 46 tahun itu.
    
Mohamad Yusoff berkata kontraktor berkenaan sepatutnya membekal peralatan kepada NGO, namun bekalan itu tidak dibuat walaupun bayaran telah dikeluarkan.

"Lebih kurang 30 saksi dipanggil sepanjang siasatan dan ada enam tuntutan terhadap kontraktor itu dan pihak SPRM telah mendapat persetujuan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh dia di mahkamah," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.
    
Mohamad Yusoff berkata enam tuntutan itu melibatkan Persatuan Teo Chew Jalan Sekerat berjumlah RM5,000, Penganut Dewa Fu De Ci (RM3,000), Bomba Sukarela Semeling (RM5,000), Bomba Sukarela Sungai Petani (RM5,000), Penduduk Batu 2 Sungai Petani (RM3,000) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk (RM7,000).

Pada Februari tahun lalu MCA Kedah mengemukakan senarai lapan NGO yang didakwa terlibat memulangkan semula antara 25 dan 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew turut mengemukakan bukti salinan jumlah peruntukan yang diterima oleh pihak berkenaan dalam bentuk cek dan wang tunai.

NGO terbabit dikatakan perlu bersetuju dengan rebat itu atau mereka tidak akan memperoleh bantuan yang dijanjikan wakil rakyat terbabit.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.