Lima rumah bantuan rakyat di Sandakan roboh

Lima rumah untuk golongan miskin yang dibina menerusi bantuan kerajaan di kawasan Parlimen Batu Sapi, roboh dipercayai angkara perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak mencuri tiang rumah.

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Hamsan Awang Supain berkata kejadian membabitkan empat rumah Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Lupak Meluas, dan sebuah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Air.

Sehubungan, pihak majlis telah mengarahkan agar jurutera berkaitan membuat pemeriksaan lanjut berhubung kejadian, katanya di Sandakan hari ini.

"Pemeriksaan keadaan rumah PBR dan PPRT yang lain juga perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya lagi.

Semalam, dua rumah PBR di Kampung Lupak Meluas roboh termasuk sebuah yang berpenghuni. Enam sekeluarga terbabit bagaimanapun terselamat.

Menurut Hamsan, kejadian kecurian tiang rumah itu dikesan berlaku di kediaman yang tidak berpenghuni.

Beliau turut meluahkan rasa kesal mereka yang menerima bantuan itu tidak tinggal di rumah terbabit, sedangkan masih ramai menunggu untuk mendapat bantuan sama.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.