Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Bon/Sukuk Yang Diniagakan di Bursa (ETSB) runcit yang pertama dengan terbitan sulung oleh DanaInfra Nasional Bhd.

Najib berkata tranche awal RM1.5 bilion bagi fasa pertama laluan MRT Kajang-Sungai Buloh, di mana yang RM300 juta yang diperuntukkan oleh DanaInfra Nasional bagi pelabur runcit melalui ETBS, adalah yang pertama dibuka kepada orang awam.

"Dengan pembukaan ekonomi kita, kami menawarkan kepada rakyat satu kepentingan di dalam kejayaan negara kita dan mulai hari ini, peluang itu dibuka kepada lebih ramai rakyat berbanding sebelum ini dengan bon Islam akan diniagakan secara lebih meluas."

"Saya secara khususnya gembira dapat menyatakan bahawa dana yang diraih akan menyokong projek Transit Pantas Massa Kuala Lumpur, satu komitmen mercu tanda yang akan memainkan peranan yang utama di dalam kejayaan masa depan Malaysia," katanya sewaktu menyampaikan ucaptama semasa pelancaran ETBS hari ini.

Sukuk runcit DanaInfra dijamin oleh Kerajaan Malaysia di mana terbitan pertama pada 8 Feb dan mempunyai tempoh 10 tahun.

Mengikut langkah itu, DanaInfra menjadi terbitan sulung ETBS di Bursa Malaysia dan ditawarkan pada pertama kali secara langsung kepada orang awam.

Najib berkata, bagi terus menjadi peneraju di dalam pasaran modal, Malaysia perlu terus membangunkan dan mengekalkan infrastruktur pasaran, dengan sokongan kukuh dari pengawal atur, penerbit dan para pelabur.

"Kebanyakan pasaran bon dan sukuk kita diniagakan di kaunter oleh para pelabur institusi dan para individu kaya," katanya.

Katanya Malaysia mesti kekal sebagai satu ekonomi yang terbuka, memandang keluar, menjadi peneraju dunia di dalam sektor strategik dan pemain utama di dalam pasaran serantau bernilai trilion dolar.

"Kita perlu menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya dicapai dengan mengorbankan kestabilan, bahawa pembangunan tidak semestinya dicapai melalui konflik dengan pihak lain," katanya.

Beliau juga mengingatkan para pelabur yang terkena kesan krisis kewangan di pasaran Barat bahawa kewangan Islam menawarkan model pertumbuhan alternatif.

Katanya tiada pelaburan yang tiada risiko dan pasaran itu yang secara relatifnya muda masih berhadapan dengan risiko dari semasa ke semasa.

"Malaysia kini menyumbang kepada tiga suku daripada pasaran sukuk global dan kita merupakan hab bagi terbitan, dagangan, pengawal atur, standard, pasaran dan latihan," katanya.

Katanya Malaysia kini adalah salah satu daripada beberapa tempat di dunia menawarkan pelabur runcit peluang untuk mengambil bahagian di dalam pasaran ini yang berkembang pantas dan cepat berubah.

"Cabaran kita sekarang ini ialah untuk menjadikan sukuk sebahagian daripada aliran utama pelaburan global," katanya.

-Bernama

ADS