BN P Pinang mahu LGE perjelas Bajet defisit

Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng memberikan penjelasan mengenai belanjawan negeri
 yang terus mencatatkan defisit tinggi.
    
Ketua Pemuda MCA negeri  Tan Hing Teik berkata ini kerana terdapat dakwaan bahawa keadaan itu berlaku kerana pentadbiran kerajaan negeri memboros wang rakyat dan kurang efisien.
    
Kerajaan negeri pimpinan DAP telah mencatatkan defisit sebanyak RM210 juta pada 2012 dan defisit RM260 juta diunjurkan untuk tahun ini dan keadaan itu amat merisaukan, katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
    
"Pemuda BN negeri menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi fokus kepada ekonomi negeri dan mengawal defisit belanjawan yang semakin meningkat.
    
"Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) memimpin Pulau Pinang sejak 10 tahun dulu, kerajaan negeri tidak pernah mengalami defisit yang begitu tinggi," katanya.
    
Beliau turut menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai dana rizab negeri.
    
Ditanya kerajaan negeri telah mencatatkan lebihan belanjawan pada 2012, Tan mendakwa kerajaan negeri mendapat dana kerana telah menjual tanah-tanah negeri.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.