Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)menyelesaikan segera krisis bekalan air sekitar Lembah Klang kerana ia (air) adalah keperluan harian penduduk setempat.

Beliau berharap krisis air itu dapat diselesaikan sebelum perayaan Tahun Baru Cina dan berjanji kepada penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini  dan penduduk sekitar Lembah Klang yang terlibat bahawa kerajaan akan memastikan masalah itu tidak berlarutan.

"Saya akan menghubungi pihak Syabas dan memberitahu bahawa pengagihan air menggunakan lori dan tangki oleh Syabas kepada penduduk terbabit adalah tidak mencukupi kerana ia menyusahkan khususnya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang perlu mengangkat baldi setiap hari sejak krisis bermula akhir bulan lepas (Disember, 2012)," katanya.

Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Flat Sri Melaka, Cheras, dan mendengar pelbagai masalah penduduk setempat ekoran krisis air tersebut dalam program tinjauan mesra penerangan Barisan Nasional (BN) di Cheras.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan berkata semalam bahawa krisis air di Lembah Klang terutamanya di Ampang dan Cheras dijangka berterusan sehingga sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Rozali membayangkan masalah bekalan air itu akan berpanjangan memandangkan terdapat kekurangan air yang dirawat, peningkatan permintaan dari semasa ke semasa dan penangguhan program CAPEX merangkumi kerja pembaikan, menaik taraf, atau pertukaran aset dan sistem pengagihan air semasa oleh kerajaan negeri.

CAPEX ialah pembekuan perbelanjaan modal terhadap Syabas oleh kerajaan negeri Selangor.    

Sehubungan itu, Ahmad meminta semua pihak memberi kerjasama menghadapi krisis air itu dan tidak mempolitikkan isu itu serta menggalakkan orang ramai menjadi sukarelawan membantu penduduk yang terjejas mengurang bebanan mereka.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata kesemua anggota BN di seluruh negara kini aktif menganjurkan program 'Setiap Hari Ada Program' atau nama singkatannya Shap di semua pusat daerah mengundi sebagai persiapan Pilihan Raya Umum ke-13.

"Shap menetapkan sekurang-kurang 200 program dianjurkan sehari seperti pertandingan futsal dan bola sepak di seluruh negara, dan demi memastikan program berjaya, setiap pusat mengundi akan mempunyai jawatankuasanya sendiri," katanya.

"Saya meminta kesemua anggota BN yang bertugas di pusat daerah mengundi bergerak aktif menjayakan program Shap ini. Selain program sukan, Shap juga menjalankan kerja-kerja kebajikan menerusi pemberian bantuan makanan kepada warga emas, OKU dan golongan miskin," katanya.

    

- Bernama

ADS