JMM dakwa penulis blog dibayar tulis artikel Najib

Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa penulis blog Sarawak Report telah dibayar untuk menulis artikel kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami strok ringan pada 5 Januari lepas.
    
Presiden JMM Azwanddin Hamzah berkata pertubuhan itu mempunyai beberapa bukti pemberian rasuah dalam kes itu dan mahukan SPRM menyiasat.
    
"Blog ini kami percaya telah dibayar oleh beberapa kalangan individu yang mempunyai kepentingan politik, yang berniat jahat untuk membuat fitnah terhadap Perdana Menteri dengan cuba merosakkan nama beliau, dan mencetuskan satu gerakan menghancurkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita sebelum  membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"Kemungkinan besar mereka dari kalangan pemimpin politik. Biar SPRM buat siasatan dulu. Tetapi bukti yang ada sangat kukuh," katanya.
    
Semalam perdana menteri menafikan dakwaan beberapa blog sejak minggu lalu kononnya beliau diserang strok ringan dan meminta rakyat tidak terpengaruh dengan khabar angin.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.