Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mengetuai pasukan khas memburu tahanan terbabit berkata, kedua-dua penjenayah itu ditemui menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana di Kampung Pelet di sini dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

"Polis kemudian melepaskan tembakan pada tayar kereta itu yang

menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum kereta itu terhumban ke dalam sungai dan kemudian berlaku tembak menembak," katanya kepada Bernama di Bukit Mertajam  hari ini.

Polis masih belum dapat mengesahkan identiti penjenayah yang ditembak mati itu.

Katanya, bertindak atas malumat awam, polis juga menyerbu kawasan

hutan di Kampung Pelet di situ dan ternampak kelibat beberapa lagi penjenayah terbabit tetapi mereka sempat melarikan diri.

Terdahulu itu, polis menerima maklumat awam mengenai seorang daripada penjenayah itu didapati membeli bekalan makanan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kulim-Butterworth dekat sini pada pukul 2 pagi.

Abdul Rahim berkata polis terus melancarkan operasi memburu lima lagi lelaki terbabit hingga ke sempadan Kedah tetapi percaya mereka masih berada di kawasan ladang kelapa sawit itu.

Dalam kejadian pukul 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor, manakala tujuh lagi  melarikan diri ke sekitar kawasan ladang sawit di Ara Kuda.

 

- Bernama

ADS