Ketua Umno Pandan dapat penangguhan hukuman penjara

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara lapan tahun ke atas Ketua Umno Bahagian Pandan Abd Ghani Ismail, yang didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geak Abdullah bagaimanapun memerintahkan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM23,000 kepada RM46,000.

Terdahulu peguam Datuk Jahaberdeen Mohd Yunus yang mewakili Abd Ghani memaklumkan mahkamah anak guamnya telah membayar denda RM977,560 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Abd Ghani, 46, membayar denda tersebut semalam.

Pada 28 Disember lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 selepas Abd Ghani didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM120,945 terhadap tertuduh yang didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.

Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam, 4 Ogos 2006.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM120,945 bagi kesalahan menerima rasuah daripada Abdul Rahman berjumlah RM24,189.

Rozilah turut menjatuhkan hukuman lima tahun penjara serta denda berjumlah RM725,670 bagi enam lagi pertuduhan lain yang dikenakan terhadap Abd Ghani bagi kesalahan sama iaitu menerima rasuah sebanyak RM145,134 daripada Abdul Rahman.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini, antara 20 Okt 2006 hingga 31 Mac 2007.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman penjara bagi sembilan pertuduhan tersebut berjalan serentak iaitu lima tahun.

Sementara itu bagi pertuduhan ke-10 Abd Ghani dihukum penjara tiga tahun serta denda RM10,000 bagi kesalahan memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.