Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah agih air , makan nasi lemak bersama rakyat

Penduduk blok 40 flat Seri Melaka di Bandar Tun Razak yang terputus bekalan air sejak akhir Disember lalu menerima kunjungan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, petang tadi.

Rosmah hadir selaku yang dipertua (YDP) Pandu Puteri Malaysia dan meluangkan masa menyampaikan bantuan air minuman kepada penduduk flat.

NONE Hadir beruniform Pandu Puteri, Rosmah meluangkan masa menyerahkan sendiri air minuman dalam botol lima liter daripada rumah ke rumah kepada sebahagian penduduk di situ.

Beliau turut mendengar taklimat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berkenaan krisis air di kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Roslan Hassan dalam taklimatnya memberi jaminan masalah air di situ akan selesai sebelum hari Rabu minggu hadapan.

Rosmah yang kelihatan sedikit letih, tertawa kecil apabila diberitahu pengerusi majlis bahawa golongan berusia yang menetap di flat empat tingkat itu dan menghadapi masalah mengangkut air dari tangki sementara ke rumah mereka - dibantu sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka Skuad Baldi.

Beliau kemudiannya meluangkan masa memberi ucapan ringkas kepada penduduk-penduduk di situ.

NONE "Tujuan saya ke sini bukanlah untuk berkempen, saya ke sini untuk melihat kesusahan penghuni flat Sri Melaka ini.

"Walau apa pun ideologi politik kita, rakyat seharusnya dapat bantuan terutamanya bantuan yang kita perlukan sebagai manusia seperti bekalan air dan elektrik," kata Rosmah dalam ucapan ringkasnya.

Selesai mengagihkan air, Rosmah minum petang seketika dengan memakan nasi lemak bungkus dan karipap bersama kaum wanita di bawah parkir motor berbumbung flat itu.

Beliau turut memenuhi permintaan sebahagian penduduk untuk mengambil foto bersama sebelum beredar meninggalkan majlis.

Turut bersama Rosmah petang tadi adalah Timbalan YDP Pandu Puteri Malaysia, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar.

ADS