Ibu bapa pelajar mohon tambah 'bantuan RM100'

Beberapa orang ibu bapa yang menerima bantuan persekolahan RM100 hari ini berharap kerajaan akan dapat menambah jumlah bantuan tersebut bagi menampung beban mereka di tahun akan datang.

Seorang surirumah, Asmah Mat berkata beliau berharap demikian memandangkan suaminya hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.

NONEMereka juga perlu menanggung kos pengangkutan bas untuk menghantar anak jagaan khas itu ke sekolah setiap hari dari Rawang ke sekolah yang terletak di Segambut.

"Kalau tahun depan tambah sedikit pun OK juga. Tambah seratus atau dua ratus ringgit lagi," kata Asmah, 60.

Beliau menerima bantuan berkenaan yang diagihkan di SMK Segambut pagi ini.

Asmah ditemui ketika menunggu untuk membawa anaknya, seorang pelajar Tingkatan Tiga yang menghidap sindrom Down dan hiperaktif pulang dari sekolah.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi ibu pelajar, Rosamma Krishnan, 39 yang berpendapat bantuan itu akan dapat meringankan perbelanjaan beliau bagi menyara persekolahan anak-anaknya.

"Suami saya bawa teksi, pendapatan tak cukup juga beli buku, kasut persekolahan dan itu belum termasuk beli beg sekolah," katanya.

NONEIbu kepada tiga orang anak itu berpendapat jumlah bantuan itu perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya sebanyak RM150 lagi.

Rosamma juga tidak menolak kemungkinan bahawa agihan bantuan berkenaan akan menyebabkan sesetengah ibu bapa cenderung untuk memilih kerajaan sedia ada dalam pilihan raya umum akan datang.

"(Jika) ada (bantuan), undilah," katanya lagi dengan tersipu-sipu.

Namun, berbeza pula dengan Jasril Suharto, 55, yang berpendapat bantuan tersebut dihulurkan secara ikhlas oleh kerajaan.

"Saya ingat tiada kena mengena dengan pilihan raya. Ia cuma (usaha) kerajaan hendak membantu golongan (berpendapatan) rendahlah.

"Ia bantuan ikhlas pihak kerajaan," katanya yang mengalu-alukan jika kerajaan bercadang menaikkan jumlah bantuan itu jika ia diteruskan.

Seorang lagi bapa pelajar, Mazalan Salim, berpendapat jumlah yang ideal untuk bantuan itu adalah sekitar RM300 untuk seorang pelajar.

"Saya membelanjakan kira-kira RM3 ribu lebih untuk enam orang anak yang bersekolah," kata Mazalan, 62.

NONEBegitu juga dengan Pang Chi Ching, 41, yang berpendapat ibu bapa akan dapat menghulurkan derma kepada sekolah dengan bantuan berkenaan.

"Kalau sekolah minta apa-apa bantuan ibu-bapa untuk derma seperti menaik taraf peralatan sukan, kita boleh hulurkan juga," katanya dengan gembira.

Namun, Pang berkata beliau menyerahkan kepada pihak kerajaan sama ada mahu menaikkan jumlah bantuan itu pada masa akan datang.

Sementara itu pengerusi BN Segambut, Jayanti Devi Balaguru yang mengagihkan bantuan berkenaan di sekolah tersebut berkata bantuan berkenaan menunjukkan bahawa BN merupakan kerajaan yang prihatin kepada masalah ibubapa/

"Walaupun kita bukan sebuah kerajaan berkebajikan, kita tetap kerajaan yang prihatin.

"Jadi, ini bukan soal (meraih) populariti, ia bertujuan meringankan beban ibu bapa," katanya kepada Malaysiakini selepas majlis tersebut.

Bantuan berkenaan mula diagihkan kepada pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima bermula 15 Januari semalam.

Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu membentangkan Belanjawan 2013 dan diagihkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.