Bekas KM Sabah nafi wujud Projek IC

Bekas ketua menteri Sabah Datuk Harris Salleh menafikan wujudnya skim sulit imigresen untuk mengubah demografi negeri Sabah, yang lebih dikenali sebagai Projek IC atau Projek M.

harris mohd salleh former sabah chief minister"Setakat yang saya sedar, tidak ada perkara seperti Projek IC. Jika
mereka (agensi-agensi persekutuan) memberikan kad pengenalan, mereka mungkin tergesa-gesa kerana mereka perlu berurusan dalam ribuan orang, supaya mereka boleh mempercepatkannya," kata Harris (kanan) yang menjadi ketua menteri pada 1976-1985.

"Tetapi setakat yang saya tahu, secara rasmi atau tidak rasmi, tidak ada Projek IC," katanya kepada suruhanjaya siasatan diraja mengenai pendatang asing di Sabah hari ini.

Menurutnya, walaupun jika kad pengenalan telah diberikan dengan cepat, ia telah dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan.

Apabila pegawai pengendali siasatan RCI, Manoj Kurup bertanya sama ada beliau membaca beberapa tuduhan dalam buku dan blog yang menuduhnya mengarahkan pendatang asing diberikan kad pengenalan, Harris berang dan menjawab bahawa soalan-soalan seperti itu hanya akan membazirkan masa RCI.

"Tidak, saya tidak pernah melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang, semua yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang... Mengapa saya perlu bersusah payah menyaman di mahkamah dan membazirkan wang dan masa mahkamah," katanya.

Harris berkata apa yang kerajaan negeri boleh buat hanyanya membantu pendatang dengan permohonan mereka seperti mengisi borang tetapi akhirnya, kuasa untuk memberikan kewarganegaraan terletak pada kerajaan persekutuan.

'Tunku alu-alukan pelarian Islam'


Dalam satu kenyataan bertulis yang dikemukakan kepada RCI, Harris juga menyalahkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman berhubung dasar kerajaan persekutuan yang didakwa memberi layanan istimewa kepada pelarian Islam.

Beliau berkata, Tunku mengumumkan bahawa pelarian Islam boleh tinggal di Malaysia, dan dalam kes bukan Islam pilihannya sama ada ke Australia, Eropah, atau Amerika Syarikat (untuk penempatan semula).

Menurut Harris, dasar tersebut terus berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Katanya, berdasarkan dasar-dasar tersebut dan seperti yang didakwa oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, boleh dibuat kesimpulan bahawa beribu-ribu pelarian dan rakyat Indonesia telah diberi kewarganegaraan selaras dengan perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, Harris menafikan dakwaan saksi kepada RCI semalam bahawa terdapat peraturan jelas untuk hanya menempatkan pelarian Islam di Sabah.

"Kami tidak pernah kategorikan bahawa mereka mesti orang Islam, terdapat juga bukan Islam dan mereka diberi layanan yang serupa," katanya sambil menambah bahawa apa diambil berat ialah menempatkan semula mereka.

Harris mengetuai kerajaan Berjaya pada tahun 1976 selepas menewaskan kerajaan USNO, dan selepas itu, Unit Penempatan telah ditubuhkan untuk menangani kebanjiran rakyat Filipina akibat konflik di Mindanao.

Beliau berkata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada masa itu menemui kerajaan Sabah untuk menempatkan orang pelarian dengan geran sebanyak AS$15 juta.

Langkah ini, katanya, bukan sahaja membolehkan Sabah menguruskan masalah orang pelarian, tetapi juga dapat menyediakan sumber manusia pada masa di mana industri pembinaan di Sabah adalah berkembang pesat.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.