Guru saman JAIS, MAIS atas fitnah 'ajaran sesat'

Seorang guru memfailkan saman ke atas pihak berkuasa agama Islam Selangor atas dakwaan fitnah kerana mendakwa beliau seorang pengikut ajaran sesat.

Guru tersebut Shahriah Omar berkata beliau memfailkan saman berkenaan hari ini ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Agama Daerah Sepang yang enggan memenuhi tuntutannya agar meminta maaf berhubung tuduhan berkenaan.

NONEMenurut Shahriah, beliau tidak pernah dipanggil atau disiasat oleh JAIS berhubung tuduhan berkenaan – yang dinyatakan melalui satu surat pada Mei 2011.

"Saya sangat terkejut dan kecewa dengan perkara ini. Implikasi yang saya dapat daripada tuduhan melulu ini bukan sahaja menyebabkan hidup saya musnah malah pelajar, rakan sekerja, jiran dan semua orang menjauhkan diri mereka," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

"Surat Pengesahan Siasatan Kes Ajaran Sesat" bertarikh 16 Mei 2011 itu diterimanya bersama "Laporan  Mengenai Aduan Ajaran Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam" daripada JAIS.

JAIS kemudiannya menghantar satu lagi surat bertarikh 11 Julai 2011 yang meminta maaf daripadanya dan menyatakan bahawa tuduhan itu adalah satu kesilapan.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut, beliau menuntut JAIS meminta maaf dan membayar gantirugi kepadanya melalui satu surat bertarikh 5 November 2011 dan satu lagi susulan bertarikh 13 Disember 2011 apabila tuntutan itu tidak dilayan.

NONEKatanya beliau menuntut demikian memandangkan tuduhan berkenaan menyebabkan anggota keluarganya menanggung malu.

"Perkara  ini juga menyebabkan keluarga saya, anak-anak terkejut dan berasa malu. Saya tanpa disiasat, dibicarakan terus mendapat surat yang menuduh saya mengikut ajaran sesat," katanya.

Writ samannya hari ini menyatakan tuntutan gantirugi sebanyak RM100,000 sebagai gantirugi teruk dan gantirugi teladan atas tuduhan berkenaan.

"Saya berharap dan berdoa agar agama saya tidak lagi dijadikan sebagai bahan jenaka oleh sesiapa. Keadilan perlu ditegakkan. Tiada siapa yang boleh sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu sebagai sesat terutamanya kepada wanita, ibu dan isteri," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.