Selebriti berang dengan garis panduan k'jaan Kedah

Pelakon dan personaliti radio, Patrick Teoh, mencetus rasa kurang senang pengguna laman sosial semalam apabila beliau mengeluarkan kritikan keras ke atas garis panduan pentadbiran PAS Kedah berhubung persembahan sempena Tahun Baru Cina.

Hinggakan, Teoh terpaksa meminta maaf dan membuang tulisan berkenaan selepas mendengar nasihat dan pandangan atas kritikan kerasnya itu.

instant cafe theater 101104 patrick teoh in actionGaris panduan itu antara lainnya menetapkan artis yang membuat persembahan agar berpakaian sopan, tidak menjolok mata, dan digalakkan menyanyikan lagu berunsur ketuhanan dan nasihat.

Teoh yang tidak puas hati dengan garis panduan tersebut berkata: "Menyanyikan lagu-lagu motivasi!!! Motivasi jenis apa yang mereka mahukan? Abaikan identiti dan jadi pak turut? Sembahyang lima kali sehari? Selubung seluruh badan perempuan? Apa ni???"

Tulisan itu turut disulami dengan kata-kata kesat dan lucah yang tidak dapat disiarkan semula di sini

Beliau kemudiannya memadamkan tulisan berkenaan apabila ia mengundang gelombang kemarahan pengguna laman Facebook dan juga Twitter.

Tidak ketinggalan, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyampaikan rasa kurang senang menerusi Twitter berhubung kritikan Teoh.

"Patrick Teoh sewajarnya boleh mengkritik kerajaan PAS Kedah tanpa komen keras terhadap orang Islam. Tolong jangan jadi seperti beliau," kata Khairy.

NONEMenyedari kemarahan dan rasa kurang senang orang ramai terhadapnya, Teoh turut membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun Facebook dan Twitter-nya.

"(Tulisan asal) saya tidak menggambarkan perkara yang saya ingin sampaikan dan ia terzahir seperti kenyataan seorang yang mementingkan diri dan taksub.

"Untuk itu, saya mohon maaf kepada semua umat Islam. Saya minta maaf," kata Teoh dalam laman Facebooknya.

"Atas nasihat yang diterima, saya dengan ini membuang (tulisan) itu dengan serta merta. Ia dilakukan kerana saya tidak mahu melukakan hati rakan-rakan warganegara Malaysia yang lain yang saya hormati, dan bukan kerana saya menapis diri saya sendiri," kata Teoh di Facebook.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.