SPR ulangi jaminan tak sekat pemerhati bebas

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi memberi jaminan tidak akan menyekat kebebasan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati untuk menjalankan tugas mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata langkah SPR melantik pemerhati bebas bertujuan memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan memuaskan hati semua pihak.

NONE"Ini ruang yang sangat baik untuk rakyat Malaysia memantau proses pilihan raya dan sepatutnya juga beri kepuasan kepada parti-parti politik. Lantikan NGO ini sebagai pemerhati merupakan satu lonjakan transformasi politik negara.

"Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya kita dipantau NGO bebas yang boleh tulis apa sahaja dan laporkan kepada SPR," katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.

Turut bersama Wan Ahmad ialah penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar dan dipengerusikan Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd Datuk Ahmad Talib.

Wan Ahmad berkata proses lantikan empat NGO yang dikenal pasti sebagai pemerhati iaitu Merdeka Centre, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) akan dilakukan bulan ini juga.

Sementara itu, Chandra berkata sebarang rasa tidak puas hati berhubung proses pilihan raya oleh mana-mana pihak boleh disuarakan mengikut saluran yang betul berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukannya dibawa ke jalan raya.

"Jika kita protes tentang sesuatu ketidakadilan dan berhimpun secara aman, itu tidak salah.

"Tapi jika lepas pilihan raya kita tak setuju dan buat protes ikut cara lain dengan matlamat untuk gulingkan kerajaan yang dipilih, itu bertentangan sama sekali dengan amalan demokrasi," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.