Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lubnan belum putuskan kes dua rakyat M'sia
Diterbitkan:  Jan 17, 2013 9:18 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Hakim yang mendengar kes dua rakyat Malaysia yang ditahan di Beirut, Lubnan, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Al Qaeda masih belum memutuskan sama ada tuduhan ke atas mereka digugurkan atau perlu dibicarakan dalam tribunal tentera.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata bahawa Malaysia menghormati sepenuhnya undang-undang Lubnan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di sana mengenai kes tersebut.

Menurut kenyataan itu, pegawai-pegawai kedutaan Malaysia telah menemui kedua-dua lelaki itu dari semasa ke semasa dan telah menjaga keperluan konsular mereka dan kedua-duanya memaklumkan pihak kedutaan bahawa mereka dilayan dengan baik.

Pejabat perwakilan Malaysia di Beirut memantau kes itu dan akan memaklumkan kepada Kementerian Luar sebaik sahaja keputusan dibuat, kata kenyataan itu.

Pada 18 Okt tahun lepas, kedua-dua rakyat Malaysia itu, Razif Mohd Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, ditahan pihak berkuasa Lubnan di Beirut. Mereka dihadapkan ke Tribunal Tentera pada 25, 29 Okt dan 31 Okt 2012.

Razif dan Razin diwakili sepasukan empat peguam daripada sebuah firma guaman yang dibayar keluarga mereka. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan kini dalam tahanan pihak berkuasa keselamatan Lubnan.

- Bernama

ADS