Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rebat elektrik RM20 ke bawah dilanjutkan hingga Dis

Kerajaan melanjutkan tempoh bagi rebat elektrik RM20 dan ke bawah kepada pengguna domestik yang layak sehingga hujung tahun ini, kata Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Bagi tujuan itu, katanya kerajaan membelanjakan RM146 juta membabitkan lebih 1.1 juta pengguna domestik di seluruh negara, tahun lalu.

"Kita harap keputusan melanjutkan tempoh bagi rebat elektrik sehingga Disember tahun ini akan mengurangkan bebanan rakyat dan sekaligus menggalakkan penggunaan elektrik dengan cekap," katanya ketika melancarkan program Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama pelanggan peringkat kebangsaan 2013, di Putrajaya hari ini.

Kerajaan memperkenalkan program pengecualian membayar bil elektrik bulanan RM20 dan ke bawah bermula Oktober 2008 khusus kepada pengguna domestik daripada golongan berpendapatan rendah.

Ia merupakan antara usaha dan keprihatinan kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka.

Menurutnya pelanggan TNB juga akan menerima faedah ke atas deposit akaun elektrik 2.5 peratus daripada jumlah yang didepositkan.

"Jumlah ini akan dikreditkan ke dalam akaun pelanggan pada bil Januari 2013," katanya.

Jelasnya tahun lalu, TNB membayar lebih RM71 juta kepada 7.4 juta pelanggan bagi tujuan itu.

Mengenai program bersama pelanggan, Chin berkata program julung kali diadakan di semua 120 pusat khidmat pelanggan TNB di seluruh negara itu bertujuan mendapatkan maklum balas segera mengenai pembilan, perjangkaan, khidmat nasihat keselamatan elektrik dan mengemas kini data pengguna.

Katanya usaha seumpama ini perlu dijadikan contoh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain dalam menyahut cabaran mentransformasikan perkhidmatan pengguna, di samping mendekati dan memahami kehendak pelanggan.

Turut hadir Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Wira Azman Mohd.

-Bernama

ADS