PAS P Pinang akur keputusan Majlis Syura

PAS Pulau Pinang akur dengan keputusan Majlis Syura PAS berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam Bible versi bahasa Melayu dan menganggap perkara itu selesai.
    
NONE"...kami (PAS Pulau Pinang) akan menggunakan keputusan majlis syura," kata Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.
    
Beliau yang ditemui selepas Penyerahan Bantuan Rumah Asnaf Fakir/Miskin di Permatang Bonggor, di sini, juga berkata PAS Pulau Pinang tidak pernah berbincang mengenai isu itu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
    
Isu itu dibangkit Lim yang juga Setiausaha Agung DAp semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu.
    
Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz serta penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.
    
Bagaimanapun susulan keputusan majlis syura itu, Abdul Aziz mengubah pandangan yang bukan sahaja tidak bersetuju dengan Lim, tetapi juga menegaskan kalimah Allah hanya merujuk Tuhan Yang Satu dan perbuatan menggunakannya untuk agama lain adalah mengarut.
    
Terdahulu, Mohd Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau  Pinang (MAIPP), berkata kutipan zakat di negeri itu meningkat kepada RM75 juta tahun lepas berbanding RM35 juta pada tahun 2011.
    
Susulan kutipan yang memberangsangkan, MAIPP menyasarkan kutipan RM100 juta tahun ini, katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.