Ada pihak cuba kait isu RCI dengan Anwar, dakwa PKR

Timbalan presiden PKR Azmin Ali mendakwa parti itu menerima maklumat bahawa terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pendatang tanpa izin Sabah dengan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PKR sudah menjangka bahawa perkara itu akan ditimbulkan kerana ia didakwa satu jalan mudah bagi Umno dan BN untuk mengatasi isu berkenaan.

NONE"Kita sedang meneliti perkembangan ini, saya dapat maklumat-maklumat akhirnya akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim... Semua masalah dalam negara akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Azmin.

Azmin mengulas kenyataan saksi di RCI tersebut semalam yang mengaitkan dua bekas orang kanan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk menjadi pengundi di Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Anwar pula sewaktu diwawancara Malaysiakini sebelum ini mengaku bahawa beliau mengetahui mengenai dakwaan pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing untuk mendapatkan undi sekitar tahun 1990-an.

Namun Anwar menegaskan bahawa beliau bukan salah seorang daripada individu yang mengetahui secara khusus mengenai projek rahsia berkenaan walaupun beliau merupakan timbalan perdana menteri pada ketika itu.

"Saya telah menjelaskan perkara ini dan ia tidak dipertikaikan. Ia merupakan operasi khas di bawah JPM dan Kementerian Dalam Negeri, pada waktu itu berada bawah (Tun Dr) Mahathir (Mohamed) dan Megat Junid (Megat Ayub).

"(Operasinya) ada sistem dan jumlah (individu atau peruntukan) tidak pernah dirujuk kepada kabinet atau majlis tertinggi Umno atau kepada biro politik," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.