Taib mahu tindakan diambil pada stesen radio 'rahsia'

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu pihak berkuasa menghentikan operasi dua stesen radio swasta yang didakwanya mencemuh kerajaan dan mengelirukan rakyat terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.

Stesen radio berkenaan ialah Radio Free Sarawak (RFS) dan Radio Kenyalang (RK).

Menyifatkan RFS sebagai 'nakal', beliau berkata stesen berbahasa Iban itu tidak menghormati kebenaran sementara RK yang dikatakan mempunyai kaitan dengan parti pembangkang Parti Pekerja Sarawak (SWP) berkempen bagi pilihan raya umum akan datang.

"Hakikat bahawa mereka bersiaran secara tidak sah dari sebuah negara luar menunjukkan orang-orang ini tidak mempunyai motif jujur untuk melakukan perkara yang mereka lakukan," katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan zakat Pelita Holdings Sdn Bhd kepada Tabung Baitulmal Sarawak di pejabat beliau di Petra Jaya di Kuching.

Taib ditanya sama ada pihak berkuasa perlu menghentikan dan menyekat siaran dua stesen berkenaan yang turut memberi set radio percuma kepada penduduk luar bandar sebagai sebahagian modus operandi mereka.

"Ramai yang mendengarnya dan kebanyakan mereka amat marah kerana mereka tahu ia satu pembohongan," katanya dan menambah segelintir orang telah terpengaruh.

Yang turut meminta agar tindakan diambil ke atas dua stesen itu ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing yang berkata kedua-dua stesen menyasar masyarakat Iban di kawasan luar bandar dan propaganda mereka telah mengganggu rakyat terutama penyokong parti beliau.

SWP dikatakan mahu bertanding di semua enam kerusi Parlimen yang disandang PRS iaitu Sri Aman, Kanowit, Julau, Selangau, Hulu Rajang and Lubok Antu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang turut dipetik sebagai berkata lesen penyiaran yang sah adalah diperlukan sekiranya stesen radio berkenaan mahu menggunakan spektrum yang diperuntukkan kepada negara.

Kemungkinan mereka menggunakan frekuensi gelombang pendek dari negara luar, yang terletak di luar bidang kuasa negara, kata beliau yang juga Naib Presiden PRS.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.