2 rakyat M'sia dijadikan tebusan di Algeria

Dua rakyat Malaysia yang bekerja di kompleks kemudahan gas, Amenas di Selatan Algeria dijadikan tebusan, semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di ibu negara hari ini berkata kementerian dimaklumkan rakyat Malaysia ditahan sebagai tebusan bersama warganegara lain.

Beliau berkata Malaysia amat bimbang terhadap insiden itu dan telah menghubungi anggota keluarga mangsa serta pejabat cawangan syarikat berpangkalan di Singapura.

Katanya, Kedutaan Malaysia di Algeria meminta bantuan Kementerian Luar Algeria untuk memastikan sama ada terdapat lagi rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut.

Anifah juga menghubungi rakan sejawatannya, Mourad Medelci, bagi memastikan keselamatan dan kebebasan rakyat Malaysia itu.

Dilaporkan bahawa kejadian tebusan itu adalah sebagai tindakan balas kerjasama Algeria dengan tentera Perancis dalam campur tangan di Mali.

-Bernama


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.