Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL beri diskaun trafik sempena Hari Wilayah

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi diskaun untuk bayaran kompaun kesalahan trafik sepanjang bulan Februari ini sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata dengan pemberian diskaun selama sebulan itu, semua kompaun trafik yang dikeluarkan oleh DBKL akan dikenakan bayaran RM30 bagi semua jenis kesalahan.

"Kompaun trafik yang terlibat ialah kompaun yang dikeluarkan sebelum 1 Mac 2012, dan pembayaran boleh dibuat di semua kaunter DBKL pada hari bekerja dengan membawa notis kompaun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengibar bendera Wilayah Persekutuan dan merasmikan jejantas baharu yang menghubungkan Menara Maybank ke Pudu Sentral serta program tinjauan mesra bersama penjaja-penjaja Pudu Sentral di ibu negara hari ini.

Setiap kesalahan trafik biasanya dikenakan kompaun sebanyak RM100 seperti kesalahan lalu lintas, halangan berada di kawasan garisan kuning, halangan berada di siar kaki dan meletakkan kenderaan di kawasan bukan parkir yang asal.

Raja Nong Chik berkata adalah menjadi kelaziman pada setiap kali sambutan Hari Wilayah, pihak kementerian serta agensi-agensi di bawahnya akan memberi buah tangan istimewa kepada rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"(Selain itu) Penggunaan secara percuma sepanjang bulan Februari untuk kemudahan sukan DBKL (tidak termasuk kejohanan) seperti gelanggang futsal, tenis, badminton, ping pong, bola tampar, takraw, padang bola sepak, kolam renang, skuasy dan gimnasium.

"Turut diberikan percuma kepada rakyat ialah yuran keahlian untukbsemua perpustakaan DBKL dan juga menaiki bot dan menunggang anak kuda di Taman Tasik Titiwangsa," katanya.

Beliau berkata penggunaan tandas awam DBKL juga diberikan secara percumabsepanjang bulan itu manakala bayaran RM1 dikenakan kepada pemegang MyKad untukbmenaiki bas 'Hop On Hop Off' pada 1 Feb.

"Pada 1 Feb juga, satu tiket masuk ke Taman Tema Berjaya Times Square akan diberikan percuma dengan pembelian satu tiket, bayaran masuk ke Taman Burun dikenakan hanya RM1 manakala Aquaria KLCC hanya RM99 untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, sah bagi pemegang MyKad," katanya.

Raja Nong Chik berkata Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur turut memberi diskaun lima peratus bagi bayaran cukai tanah secara online serta pengurangan 50 peratus bagi tunggakan denda 2013.

"Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur turut memberikan penggunaan secara percuma bagi peralatan sukan dan gelanggang di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) ini, serta diskaun bagi penggunaan di Bukit Kiara dan Kompleks Belia dan Sukan Kampung Pandan.

"Jabatan Kastam Kuala Lumpur memberikan penggunaan percuma padang bola sepak Kelana Jaya dan penggunaan ambulans secara percuma oleh Jabatan Pertahanan Awam di sekitar Kuala Lumpur, sepanjang Februari ini," katanya.

Katanya Perbadanan Putrajaya turut memberikan diskaun 50 peratus bagi 'sight seeing Cruise' untuk dewasa dan kanak-kanak bagi perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya bermula dari 1 hingga 8 Feb.

Katanya, masyarakat juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan lawatan berpandu ke tempat-tempat menarik sekitar Putrajaya dengan menaiki bas Nadi Putra secara percuma pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Februari bermula dari i-Centre, Dataran Putra.

"Selain itu, diskaun 50 peratus bagi sewa peralatan di Taman Cabaran Putrajaya untuk pemegang MyKad pada minggu pertama Februari dan pendaftaran keahlian Pusat Pembelajaran Kejiranan Putrajaya secara percuma sepanjang bulan itu.

"Sewa satu jam, percuma satu jam berikutnya bagi kemudahan gelanggang bola tampar, takraw, futsal dan bola keranjang di Taman Pancarona dan Kompleks Futsal 1Malaysia untuk pemegang MyKad pada minggu pertama bulan itu," katanya.

Raja Nong Chik berkata pemberian percuma pada minggu pertama bagi sewaan kemudahan awam seperti badminton, ping pong dan skuasy di Kompleks Kejiranan Putrajaya dan Kompleks Renang di Presint 5.

Katanya penduduk Wilayah Persekutuan Labuan turut berpeluang untuk menggunakan kemudahan awam seperti gelanggang futsal, boling padang, bola keranjang, padang ragbi dan dewan serba guna secara percuma, sepanjang Februari.

Mengenai penyeragaman kadar caj bayaran letak kereta di seluruh Kuala Lumpur, beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan akan dilakukan bagi memastikan semua operator parkir mematuhi harga siling yang ditetapkan.

"Operator diberi masa selama tiga bulan untuk mengubah suai caj parkir yang dikenakan dan jika kita menerima aduan daripada orang ramai selepas tempoh itu, kita akan mengadakan pemeriksaan dan tindakan akan dikenakan jika terbukti mereka ingkar," katanya.

-Bernama

ADS