Nalla belum serah senarai saksi atau panggil Shamsidar

Senator S Nallakarupan masih belum menyerahkan senarai saksinya dalam kes saman RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap beliau, kata peguam Afiq M Noor selepas pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Afiq yang mewakili Anwar berkata, Nallakarupan juga tidak pernah memaklumkan hasrat untuk memanggil isteri timbalan presiden PKR, Shamsidar Taharin sebagai saksi dalam kes itu.

nallakarupan interview 230307 nalla anwar ibrahim shaking hands"Senarai saksi boleh jadi diserahkan kepada kami sebelum kes bermula pada 21 Februari," kata Afiq kepada Malaysiakini.

Pada 26 Mac tahun lalu, Anwar memfailkan saman berhubung kenyataan Nallakaruppan dalam muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac yang didakwa bersifat fitnah terhadap dirinya.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan Nallakarupan dan Utusan untuk mengekalkan sebahagian besar kenyataan mereka selepas Anwar membuat permohonan menolak beberapa bahagian kenyataan pembelaan Nallakaruppan dan Utusan.

Utusan sebelum ini menamakan Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai 'Himpunan Shamsidar' selepas Nallakarupan mendakwa himpunan itu dirancang untuk memastikan Shamsidar tidak memberi keterangan dalam kes berkenaan.

Menurut Afiq lagi, kedua-dua pihak hari ini memutuskan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi. Pengurusan kes di Mahkamah Rayuan akan dibuat pada 21 Februari depan.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun mengosongkan tarikh 13 hingga 15 Februari untuk mendengar kes itu. Pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi pula akan berlangsung pada 19 Februari depan, kata Afiq lagi.

Selain Afiq, Anwar turut diwakili peguam Sulaiman Abdullah, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya, dan N Surendran. Manakala Nallakarupan pula diwakili Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.