Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Pelajar M'sia di Universiti Trisakti dipindah
Diterbitkan:  Jan 18, 2013 4:14 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Sejumlah pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Trisakti di Jakarta telah dipindahkan ke Dewan Malaysia, di Jakarta Pusat, sejak tengah malam tadi apabila kediaman mereka di kawasan Roxy, Jakarta Barat, dinaiki air sehingga satu meter.

    

Pihak Education Malaysia (EM) Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di sini telah memindahkan 24 pelajar terdiri 20 perempuan dan empat  lelaki, selain membantu memindahkan seorang pelajar perempuan Indonesia yang merupakan rakan serumah pelajar Malaysia terbabit.

    

Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dan Kelab Umno Indonesia turut membantu usaha memindahkan para pelajar terbabit.

    

Pengarah EM Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya semua pelajar Universiti Trisakti dipindahkan ke Dewan Malaysia bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah terputus bekalan makanan, kerana kawasan kediaman mereka masih dinaiki air.

    

Terdapat lebih 200 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Trisakti namun kira-kira 80 daripada pelajar itu tidak tinggal di kediaman mereka sekarang kerana sedang bertugas di beberapa hospital di luar kawasan itu di bawah program latihan klinikal.

"Tiap seorang daripada pelajar Malaysia dari universiti itu telahpun dihubungi oleh pihak kami dan mereka semua menyatakan berada dalam keadaan selamat. Bagaimanapun pihak EM telah menasihatkan mereka semua supaya tinggal sementara di Dewan Malaysia bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan di kawasan kediaman mereka," kata Dr Juzhar ketika dihubungi di sini Jumaat.

    

Warden Dewan Malaysia Kamarulazhar Abd Salam yang dihubungi pula berkata usaha memindahkan pelajar Malaysia di Universiti Trisakti diteruskan hari ini dan pagi ini 17 orang lagi pelajar akan masuk ke Dewan Malaysia.

    

Pihak Dewan Malaysia menyediakan makanan dan minuman kepada para pelajar terbabit, katanya.

    

Kamarulazhar berkata, pelajar perempuan Indonesia yang ditempatkan di dewan itu tengah malam tadi, telah dibawa pulang oleh keluarganya hari ini.

    

Yang Dipertuan PKPMI Pusat Ahmad Nabieh Abqori Rahmat pula berkata pelajar Malaysia yang terbabit dalam pemindahan itu merupakan pelajar Fakulti Perubatan

dan Fakulti Pergigian Universiti Trisakti.

    

Pada masa ini universiti itu telah menutup kampus secara sementara disebabkan keadaan banjir yang agak buruk dan jika keadaan pulih, kuliah  mungkin dimulakan Isnin nanti, katanya.

- Bernama

ADS