Mohd Ali mahu tanding kerusi parlimen pada PRU-13

Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengesahkan sedia bertanding di kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13, sekaligus menamatkan spekulasi beliau berhasrat melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Beliau berkata hasrat itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ramai juga yang sedia maklum tentang perkara ini namun keputusan terletak di tangan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan RM100 kepada murid Sekolah Kebangsaan Dato Palembang di Melaka, hari ini.

Beliau yang diminta mengulas khabar angin berhubung hasratnya melepaskan jawatan ketua menteri untuk kembali berkhidmat di peringkat pusat, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi.

Mohd Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kesembilan menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin pada 2 Dis 1999.

Beliau sebelum itu pernah memegang jawatan timbalan menteri pengangkutan dan timbalan menteri kesihatan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata pembahagian kerusi bagi pilihan raya umum ke-13 di Melaka telah selesai dan dipersetujui semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Tidak ada perubahan baru buat sementara ini dan kita akan ikut cadangan awal yang telah dikemukakan kepada Pengerusi BN sebelum ini," katanya.

Katanya berdasarkan perancangan sekarang, hanya kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang sebelum ini ditandingi MCA, akan diserah kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk ditandingi Pengerusi PPP negeri Datuk Chiw Tiang Chai.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.