Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Dr M heret Tunku untuk bersihkan diri dari salahlaku
Diterbitkan:  Jan 18, 2013 4:04 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

PKR menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'manipulator sejarah yang tidak beranggungjawab' apabila mengheret Tunku Abdul Rahman dalam isu pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendakwa Dr Mahathir itu cuba mengaburi pandangan rakyat dengan menyamakan penipuan kad pengenalan yang didakwanya dikendalikan dalam keadaan sembunyi dengan pemberian kewarganegaraan di Semenanjung Malaysia semasa era Tunku Abdul Rahman.

Pemimpin pembangkang itu juga mendakwa kenyataan bekas presiden Umno itu bertujuan untuk "membersihkan dirinya daripada segala salahlaku.

"Beliau berterusan menghina akal kita dengan menganggap bahawa rakyat tidak berupaya untuk membezakan antara operasi gelap yang diselubungi rahsia yang sememangnya suatu jenayah dengan perkara yang berlaku dengan keputusan secara kolektif semasa pembentukan sejarah kemerdekaan kita.

"Maka, yang kedua itu bukanlah subjek siasatan sepertimana projek kad pengenalan tersebut. Oleh itu Dr Mahathir harus hentikan sikap berdolak-dalih beliau yang mengalih tumpuan kita terhadap isu utama," katanya.

Azmin mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam sidang media selepas sebuah majlis semalam yang mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya tetapi dijalankan mengikut lunas undang-undang.

Sehubungan itu, dalam kenyataannya, Azmin menggesa Dr Mahathir supaya berhenti berpura-pura bahawa beliau tidak mampu melihat kaitan dengan kewujudan skim kewarganegaraan untuk undi, memandangkan ia didakwa berlaku dua minggu sebelum pilihan raya di negeri itu.

Azmin berkata beliau terkejut dengan individu yang menginap di rumah Tan Sri Aziz Shamsuddin dalam operasi mengeluarkan kad pengenalan itu dan bekas menteri Megat Junid Megat Ayub didakwa mengarahkan pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan resit penerimaannya.

Ahli parlimen Gombak itu menegaskan Aziz dan Megat Junid tidak mungkin mampu melaksanakan perkara itu tanpa arahan atau persetujuan daripada orang atasan mereka.

Oleh itu, beliau sekali lagi menegaskan mahu Dr Mahathir disiasat atas dakwaan mengkhianati rakyat dan Negara dengan menjual kedaulatan negara kita.

ADS