Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, musibah banjir baru-baru ini ternyata memberi kesan besar kepada lebih 3,000 mangsa banjir di Pahang.

Kebanyakannya ternyata pasrah dengan ketentuan yang berlaku.

Namun, pelbagai bantuan kerajaan yang sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang dilanda musibah itu, ia sedikit sebanyak mengurangkan keperitan mereka.

Semua petugas jabatan kerajaan dan agensi berkaitan yang dibekukan cuti tahunan sejak awal lagi, memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membantu mangsa banjir terbabit.

Beberapa mangsa banjir yang ditemui Bernama melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dengan nasib mereka yang dilanda musibah dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

Mangsa banjir di kampung Baru Cherating, Ahmad Nizam Abdul Ghani, 38, berkata beliau sekeluarga amat bersyukur apabila musibah yang menimpanya mendapat perhatian kerajaan.

"Syukur sangat dengan bantuan yang diterima, ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami, banjir tahun ini berlaku dengan pantas, dan banyak barangan yang tidak sempat diselamatkan.

"Mujurlah dengan adanya pelbagai sumbangan, kami dapat bernafas kembali," katanya yang bekerja sendiri itu.

Selain itu, Tok Empat (ketua kampung) kampung Cherating, Abdul Razak Awang Ngah berkata rumahnya turut dinaiki air setinggi dua meter pada 24 dan 25 Dis lepas.

"Alhamdulillah, atas pelbagai bantuan yang diterima termasuk Wang ehsan RM500 itu, ianya dapat meringankan beban kami.

"Inilah bukti kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat, kerajaan yang berjiwa rakyat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail ketika ditemu bual Bernama berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM4 juta sebagai bantuan untuk bencana banjir.

"Sebanyak RM4 juta telah disediakan bagi persediaan bantuan manghadapi bencana banjir dan daripada peruntukan itu hampir RM1 juta digunakan bagi keperluan pelbagai bantuan dalam kejadian banjir baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan yang disediakan itu melibatkan perbelanjaan untuk barangan di pangkalan hadapan, barangan keperluan mangsa bencana dan bahan makanan bagi mangsa di pusat pemindahan.

Katanya semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat memberikan kerjasama bersepadu dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk perkhidmatan ataupun keperluan kepada mangsa banjir.

Muhammad Safian berkata sebanyak 77 bekalan pangkalan hadapan telah dihantar bermula November tahun lepas bagi persediaan 571 pusat pemindahan banjir di seluruh Pahang.

"Mengikut rekod dalam kejadian banjir baru-baru ini, sebanyak 17 pusat pemindahan telah dibuka di tiga daerah dan daerah Kuantan yang paling teruk terjejas apabila 15 pusat pemindahan dibuka.

Katanya, pusat pemindahan yang dibuka di Kuantan bermula 24 hingga 27 Disember lepas itu menempatkan 3,021 orang daripada 753 keluarga, manakala daerah Pekan dan Rompin hanya satu pusat yang dibuka bermula 24 hingga 28 Disember dengan menempatkan 98 orang daripada 18 keluarga di Pekan dan 57 orang daripada 13 keluarga di Rompin.    

Bagi banjir kali kedua pula pada 31 Disember 2012 hingga 1 Januari lepas, ia hanya berlaku di Kuantan dengan jumlah mangsa banjir yang berpindah adalah seramai 162 orang daripada 32 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

"Kerjasama semua agensi amat membanggakan, masing-masing telah memainkan peranan dalam penyampaian bantuan perkhidmatan dan bekalan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat," katanya.

Beliau berkata pihak polis, misalnya, mereka sentiasa bersedia sebagai pemandu arah kepada bantuan yang hendak dihantar supaya dapat disampaikan dengan pantas.

"Dalam pada itu, Pahang turut menerima bantuan satu batalion tentera darat  dari Kluang, Johor untuk bersiap sedia sebagai barisan hadapan dalam menghadapi bencana banjir baru-baru ini. Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyediakan tiga buah helikopter sebagai kemudahan untuk mempercepatkan saluran bantuan kepada mangsa-mangsa bencana termasuk penerbangan ihsan kepada pesakit.

"Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula turut memberi jaminan akan membantu menyalurkan bantuan ke pulau-pulau tertentu sekiranya turut mengalami banjir," katanya.

"Kerjasama padu semua agensi dan jabatan kerajaan nyata bukti keprihatinan  kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa diutamakan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Pahang berkata sekiranya bencana banjir berlaku lagi di negeri ini sekolah-sekolah yang dikenal pasti sebagai pusat pemindahan akan ditutup.

Katanya, tiga daerah yang berisiko iaitu Kuantan mengenal pasti 77 pusat  pemindahan yang boleh menempatkan lebih 20,000 mangsa banjir, di Pekan, 84 pusat pemindahan yang boleh menempatkan 9,000 mangsa dan di Rompin, 31 pusat yang boleh menempatkan 4,000 mangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Datuk Shamsiah Hussin berkata JKM Pahang juga akan memberi satu identiti kepada kenderaan jabatan itu yang menghantar bekalan bagi membolehkan orang ramai mengenali dan dapat memberikan kerjasama supaya ia dapat dibuat dengan lebih pantas.

"Bekalan yang disediakan oleh JKM adalah 19 jenis bekalan makanan untuk kegunaan mangsa banjir bagi tempoh tiga hingga tujuh hari," katanya.

Sementara itu, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan awal seperti beras, gula, tepung, tepung, ayam, susu kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Wakil 1MDB Zon Timur, Hamdie Basri, berkata, barang-barang makanan berkenaan diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada mangsa banjir.

"Selain bahan mentah, kita turut mengedarkan 1,000 tilam, selimut, pakaian dan barang-barang lain untuk kegunaan mangsa," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Indera Mahkota berkata kerjasama semua pihak melibatkan agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan serta sektor korporat membuktikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membawa budaya prihatin rakyat Malaysia terhadap mereka yang dilanda musibah.

- Bernama

ADS